
DR. YADZIL SEDIA BAWA ISU RAKYAT BEMBAN KE MEJA PENTADBIRAN
BEMBAN 8 November – Masalah banjir, kemudahan sekolah dan pembangunan infrastruktur antara isu utama yang memerlukan perhatian serius agar kesejahteraan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban terus terpelihara.
Calon Perikatan Nasional (PN) N.24 DUN Bemban Dr. Yadzil Yaakub berkata, isu tersebut antara perkara yang kerap dibangkitkan penduduk sepanjang tempoh kempen, selain tekanan kos sara hidup yang terus menjadi perhatian masyarakat.
Beliau yang juga penyandang DUN Bemban berkata, sebahagian isu memerlukan tindakan Kerajaan Negeri manakala perkara lain perlu diselaraskan dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Masalah yang dibangkitkan banyak melibatkan infrastruktur, masalah banjir, sekolah dan kos sara hidup yang sememangnya menjadi perkara biasa dibangkitkan rakyat.
“Ada masalah yang memerlukan penekanan Kerajaan Negeri dan ada juga di bawah kerajaan Persekutuan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh yang hadir meninjau gerak kerja jentera BN-PN di Bilik Gerakan Wawasan Negara (WAWASAN) DUN Bemban, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dr. Yadzil yang juga calon nombor 3 berkata, sekiranya diberikan mandat semula dan diberi peluang bersama blok kerajaan, beliau akan berusaha membawa isu berkenaan ke peringkat pentadbiran untuk mendapatkan penyelesaian sewajarnya.
“Keutamaan seseorang wakil rakyat seharusnya tertumpu kepada usaha menyelesaikan masalah masyarakat dan bukannya mengejar populariti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan jumlah pengundi di DUN Bemban kini dianggarkan 26,381 orang, meningkat kira-kira 8,000 berbanding PRN Melaka lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


