PRN MELAKA: MCA ‘KETUK PINTU’ 200 RUMAH SEHARI, YAKIN RAIH KEYAKINAN PENGUNDI

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDARAYA MELAKA 11 November – Calon MCA memperhebat gerak kerja kempen dari rumah ke rumah dengan menyantuni hampir 200 kediaman sehari bagi meraih kepercayaan pengundi di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Presidennya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau berpuas hati dengan momentum kempen yang ditunjukkan semua calon, khususnya usaha mendekati masyarakat secara bersemuka bagi memahami permasalahan penduduk setempat.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sekadar untuk memperkenalkan calon, malah menjadi ruang mengeratkan hubungan dengan penduduk serta mengetahui isu yang dihadapi mereka di kawasan masing-masing.

“Ada yang dalam sehari itu hampir 200 rumah yang mereka ziarahi. Ini menunjukkan mereka memang tahu setiap pelusuk kawasan, tahu apakah permasalahan yang ada.

“Saya rasa ini sebagai satu usaha yang bagus untuk mendampingi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama NGO Masyarakat Cina yang disempurnakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di sebuah restoran di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Presiden MCA, Dr. Mah Hang Soon; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon; Pengerusi MCA Melaka, Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem serta Pengerusi Bahagian MCA Kota Melaka, Datuk Wira Gan Tian Loo.

Mengulas peluang MCA pada PRN kali ini, Wee Ka Siong mengakui terdapat kawasan yang sebelum ini memihak kepada parti lawan, namun keadaan itu tidak seharusnya melemahkan semangat jentera untuk terus memberikan saingan.

Katanya, MCA akan terus mempergiat usaha mendekati pengundi dengan kekuatan calon yang diketengahkan, termasuk pengalaman dua calon yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat dan dua calon baharu yang mempunyai pengalaman sebagai ahli majlis.

Menurutnya, latar belakang serta rekod perkhidmatan calon berkenaan membuktikan mereka bukan individu asing kepada masyarakat setempat atau hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Calon-calon MCA turut disokong pengalaman dua calon yang pernah menjadi wakil rakyat, manakala dua calon baharu mempunyai pengalaman sebagai ahli majlis dengan rekod perkhidmatan di kawasan masing-masing.

“Latar belakang yang baik membuktikan calon yang diketengahkan bukan individu asing atau ‘calon ekspres’ yang hanya muncul ketika musim pilihan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

871
Kongsi :
Previous post MANDAT RAKYAT BUKAN TIKET BERKUASA, TETAPI AMANAH UNTUK BERBAKTI