
MANDAT RAKYAT BUKAN TIKET BERKUASA, TETAPI AMANAH UNTUK BERBAKTI
TANJUNG BIDARA 11 November – Mandat yang diberikan rakyat kepada seseorang pemimpin bukanlah ruang untuk meninggi diri, sebaliknya amanah yang perlu diterjemahkan menerusi khidmat dan usaha berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, prinsip itu menjadi pegangan beliau sejak mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka dengan merangka pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat merentasi semua peringkat usia.
Katanya, tanggungjawab seorang pemimpin tidak seharusnya bermusim atau hanya dilaksanakan ketika tempoh berkempen pilihan raya, sebaliknya perlu dipikul secara berterusan sebaik menerima mandat rakyat.
“Dua minggu tempoh berkempen bukan masa untuk kita tunjuk kepada rakyat bahawa kita buat kerja. Tetapi apabila pegang kuasa, dapat mandat terus buat kerja demi kepentingan rakyat.
“Sebab itu ramai yang kata Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini tenang sahaja, kerana kita sudah buat kerja untuk bantu rakyat sejak lebih dua tahun lalu,” katanya.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi N.02 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata demikian ketika Ceramah Kempen DUN Tanjung Bidara Cawangan Pengkalan Balak di Kampung Hailam, di sini, semalam.
Menurutnya, setiap permasalahan rakyat direkodkan dan ditangani satu persatu dengan kerjasama barisan Exco mengikut bidang tanggungjawab masing-masing, selain memastikan setiap tindakan mematuhi tatakelola yang ditetapkan.
“Contoh masalah melibatkan sekolah kita serahkan kepada Exco Pendidikan. Kalau dalam kampung ada perusahaan kecil buat kuih bahulu perlukan perhatian, kita usahakan peruntukan.
“Itu cara kerajaan menguruskan rakyat, bukan jadi kerajaan pakai kot dan tali leher, rakyat nak jumpa perlu buat janji temu.
“Meskipun bergelar Ketua Menteri, rakyat adalah sebahagian daripada hidup saya. Susah tuan-tuan saya perlu tahu, ribut rumah tuan-tuan saya kena faham.
“Jadi kita gunakan mandat kuasa yang diberikan untuk kembali berbakti kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


