Melaka luluskan 100 lokasi baharu pasar pagi, malam dan bazaria

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Kerajaan negeri meluluskan 100 lokasi tapak baharu yang bersesuaian bagi pembukaan pasar pagi, pasar malam dan bazaria Melaka bagi tahun 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri telah mengenal pasti dan membuat pemilihan penganjur yang mendapat pertimbangan serta sokongan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).

“PBT telah mengenalpasti dan membuat pemilihan sebelum meluluskan permohonan penganjur berdasarkan lokaliti tapak yang dicadangkan melalui mesyuarat jawatankuasa pelesenan PBT.

“Daripada jumlah lokasi yang diluluskan MMKN, PBT telah mengenalpasti 21 lokasi pasar malam yang akan beroperasi bermula Khamis ini (18 Jun).

“Ia meliputi empat lokasi dibawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), tujuh lokasi di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), lima lokasi di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), dan lima lokasi di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ),”katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ujarnya, lokasi-lokasi tambahan lain akan diselaraskan PBT berdasarkan kesesuaian SOP yang dikeluarkan untuk dipatuhi penganjur dan perlu berdaftar dengan PBT serta mematuhi syarat-syarat pelesenan yang berkuatkuasa.

“PBT bersama agensi penguatkuasa lain seperti yang telah diturunkan kuasa berdasarkan Warta di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa di lokasi pasar malam dan pagi.

“Kerajaan negeri berharap kebenaran ini akan memberi tambahan peluang pendapatan kepada peniaga-peniaga kecil dan merancakkan semula ekonomi Negeri Melaka khususnya peniaga pasar
pagi dan pasar malam,” katanya.

Tarikh kuatkuasa SOP tersebut bermula 15 Jun hingga 31 Ogos depan tertakluk kepada pindaan sehingga tempoh PKPP ditarik balik.

Katanya, sebarang perubahan berkaitan arahan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Views:

880
Kongsi :
Previous post TASKA perlu patuhi SOP ditetapkan – Latipah
Next post Ibu tunggal raih Anugerah Hero Pekerja Pembersihan
Ubah saiz-+=