TASKA perlu patuhi SOP ditetapkan – Latipah

Masa Membaca:59 Saat

JASIN 18 Jun – Pemilik Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di negeri ini disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjaga tahap keselamatan anak-anak di TASKA.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Latipah Omar berkata, pengoperasian semula TASKA di negeri ini bagi membantu ibu bapa yang sudah memulakan kerja seperti biasa.

“Hasil lawatan di dua buah TASKA sekitar Jasin baru-baru ini, semua pengusaha mahupun guru-guru mematuhi SOP ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan sosial 1 meter antara anak-anak asuhan.

“Peranan pengusaha TASKA dalam penjagaan kanak-kanak di waktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini memuaskan dan pengambilan anak-anak juga mengikut had yang ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dua TASKA tersebut ialah TASKA Kasih Bonda, Taman Maju dan TASKA Penyayang Khalifah Bestari di Bandar Baru Jasin.

Ujarnya, mengikut Peraturan TASKA 2012, luas lantai di TASKA adalah 3.5 meter persegi dan had maksima kanak-kanak yang diluluskan dalam perakuan pendaftaran mengikut keluasan ruang aktiviti TASKA.

“Dalam tempoh PKPP, TASKA yang beroperasi dibenarkan mengambil kanak-kanak mengikut had maksima yang ditetapkan dan memenuhi syarat SOP iaitu penjarakan satu meter,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri, Burhanuddin Bachik.

Views:

573
Kongsi :
Previous post Sulaiman dilantik Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Next post Melaka luluskan 100 lokasi baharu pasar pagi, malam dan bazaria
Ubah saiz-+=