
AB RAUF DIJANGKA ANGKAT SUMPAH KETUA MENTERI HARI INI
SERI NEGERI 15 November – Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka bagi penggal baharu pada istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan angkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah simpan rahsia, pagi ini.
Istiadat berkenaan dijadual berlangsung pada jam 11 pagi di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Upacara berkenaan akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, yang dijadual hadir bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Asmah Ab Rahman.
Atur cara istiadat dimulakan dengan pengisytiharan nama Ketua Menteri Melaka oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, sebelum surat cara pelantikan dikurniakan oleh Yang di-Pertua Negeri.
Ia kemudian diikuti upacara angkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah simpan rahsia sebelum Ab Rauf menandatangani surat cara sumpah berkenaan.
Ab Rauf sebelum ini diumumkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Gabungan BN-PN secara tidak rasmi memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.
Pada PRN kali ini, BN memenangi 21 kerusi manakala PN memperoleh tiga kerusi, sementara Pakatan Harapan (PH) memenangi baki empat kerusi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

