
SELESAIKAN ADUAN RAKYAT KEUTAMAAN ABDUL RAZAK
AYER KEROH 20 November – Menyelesaikan isu dan aduan rakyat menjadi keutamaan Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman selepas dilantik sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri.
Abdul Razak berkata, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diminta memberi perhatian serius terhadap aduan yang dikemukakan rakyat khususnya menerusi inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Katanya, tindakan menyelesaikan aduan berkenaan perlu menjadi fokus awal sebelum Kerajaan Negeri merangka perancangan pembangunan seterusnya.
“Saya tidak mahu menyebut perkara-perkara yang bersifat retorik sedangkan kita tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya.
“Jadi, pada hari pertama saya memulakan tugas, perkara pertama yang saya minta ialah semua PBT memastikan aduan rakyat diselesaikan terutama aduan-aduan diterima ketika WRUR. Aduan rakyat adalah fokus utama.
“Aduan ini membabitkan isu berkaitan jalan, longkang, banjir dan sebagainya, selesaikan dahulu isu-isu ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Abdul Razak berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Jezlee Pit; Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron dan Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.
Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, selain memberi keutamaan kepada penyelesaian aduan rakyat, beliau turut meminta PBT dan agensi berkaitan memberi penekanan terhadap pelaksanaan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang melibatkan portfolio berkenaan.
“PBT adalah rakan kepada rakyat, ia bukan semata-mata agensi yang bertindak sebagai pemungut cukai atau badan yang mengeluarkan lesen.
“Untuk itu saya cukup yakin dengan pengalaman Yang Dipertua PBT termasuk ketua-ketua jabatan untuk kita bergerak bersama-sama. Asasnya adalah untuk rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

