MUSTAFA TUMPU BANTU RAKYAT, PERCEPAT BANTUAN PESAKIT TERLANTAR

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DURIAN TUNGGAL 25 November – Usaha mempercepatkan bantuan kepada pesakit terlantar dan golongan memerlukan antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa dalam menangani aduan penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan kakitangan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal supaya segera berhubung dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi meneliti setiap kes yang dilaporkan.

Menurutnya, sebahagian besar aduan ketika ini masih dalam tindakan agensi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, namun beberapa kes yang boleh diselesaikan segera tanpa melibatkan kos besar telah berjaya ditangani.

“Ada satu dua kes yang telah kita selesaikan seperti bantuan lampin pakai buang.

“Kita juga telah memohon bantuan kebajikan bagi insan terlantar serta penjaga mereka, namun ia memerlukan sedikit masa kerana keputusan akan dibuat oleh agensi berkaitan. Bagi permohonan yang memerlukan SOP tertentu, kita akan ikut prosedur, tetapi pada masa sama meminta supaya proses itu dapat dipercepatkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, tindakan segera turut diambil bersama agensi berkaitan bagi menangani masalah tanah berlumpur dan berlopak di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa menerusi pemasangan halangan kenderaan.

Katanya, pihaknya juga mengambil tindakan membaiki lampu isyarat yang terjatuh di pekan Durian Tunggal bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pengguna jalan raya.

Menurutnya, bagi aduan yang boleh diselesaikan serta-merta, pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan supaya penduduk dapat merasai kesan tindakan yang diambil terhadap permasalahan mereka.

Beliau berkata, tumpuan turut diberikan kepada usaha membangunkan Durian Tunggal, mempercepatkan permohonan rakyat serta menangani isu banjir dan sistem perparitan dengan kerjasama agensi berkaitan.

“Misi saya adalah untuk membantu rakyat dan menjadikan Durian Tunggal lebih hebat, insya-Allah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

219
Kongsi :
Previous post DUA MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU TINGKAT AKSES INTERNET JASIN