JANGAN LUPA JASA GURU, TOK RAUF TITIP PESANAN BUAT CALON SPM MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KLEBANG 23 November – Di sebalik usaha memburu kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon diingatkan agar tidak melupakan jasa dan pengorbanan guru yang menjadi antara insan penting dalam membentuk kejayaan serta masa depan mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan seseorang pelajar bukan hanya bergantung kepada usaha sendiri, sebaliknya turut didukung komitmen guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu, mendidik dan membimbing mereka sepanjang alam persekolahan.

Menurutnya, sumbangan warga pendidik amat besar dalam melahirkan generasi berilmu yang mampu memenuhi keperluan masa depan negara.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga pendidik dan guru yang telah berusaha mendidik anak bangsa bagi memenuhi keperluan masa depan negara.

“Saya doakan seluruh anak-anak yang mengambil SPM di Melaka semoga dapat melakarkan kejayaan dan tidak melupakan jasa guru yang mendidik mereka selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni calon SPM pada program Santunan Kasih YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Exco Kesihatan dan Modal Insan Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Seramai 195 calon SMK Klebang Besar memulakan peperiksaan bertulis SPM hari ini bersama 13,372 calon lain di seluruh Melaka.

Ab Rauf berkata, peperiksaan berkenaan menjadi titik penting dalam perjalanan kehidupan pelajar sebelum meninggalkan alam persekolahan dan melangkah ke fasa seterusnya bagi mengejar cita-cita serta membina kerjaya pilihan.

Justeru, beliau berharap semua calon dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang, penuh keyakinan dan memberikan usaha terbaik bagi melakar kejayaan yang membanggakan keluarga serta Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

145
Kongsi :
Previous post MESYUARAT EXCO PERTAMA: MELAKA MULAKAN LANGKAH JANJI MANIFESTO 100 HARI