JANGAN ANGGAP GURU MUSUH, TEGURAN MEREKA DEMI MASA DEPAN – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 23 November – Pelajar di negeri ini diingatkan supaya tidak menganggap teguran dan ketegasan guru sebagai satu bentuk permusuhan, sebaliknya melihatnya sebagai sebahagian daripada proses mendidik dan membentuk disiplin diri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pengalaman serta didikan guru sepanjang tempoh persekolahan merupakan bekalan penting dalam membentuk seseorang individu menjadi insan berguna apabila melangkah ke alam dewasa.

Menurutnya, pelajar perlu menghargai segala usaha guru yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membimbing mereka mengenali kehidupan dan mempersiapkan diri menghadapi pelbagai cabaran masa depan.

“Jangan anggap guru ini musuh kita. Ada anak-anak anggap guru ini musuh kita, nak bergaduh dengan guru, itu tidak betul dan tidak patut sama sekali.

“Ambil pengalaman yang dididik oleh guru-guru ini sebagai satu niat suci seorang guru nak menjadikan kita satu insan yang berguna pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Santunan Kasih YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Exco Kesihatan dan Modal Insan Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Berkongsi pengalaman persekolahannya, Ab Rauf berkata, beliau turut melalui proses didikan guru yang tegas dan mengakui pengalaman berkenaan menjadi antara faktor membentuk dirinya sehingga ke hari ini.

Katanya, pelajar perlu memahami bahawa guru mempunyai tanggungjawab besar dalam membimbing mereka, selain ibu bapa yang menjadi individu pertama mengasuh dan mendidik sejak kecil.

“Kita diasuh oleh mak bapa kita, tapi kita dibimbing oleh guru-guru kita,” katanya.

Beliau berharap calon SPM dapat membawa nilai disiplin, adab dan penghormatan terhadap guru walaupun selepas meninggalkan alam persekolahan serta melangkah ke peringkat pendidikan dan kerjaya lebih tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

206
Kongsi :
Previous post PENGGAL KE-16: MELAKA MAHU SEKOLAH LEBIH BAIK, PENDIDIKAN LEBIH BERKUALITI