
SISTEM PELESENAN BECA MELAKA JADI IKUTAN NEGERI LAIN
DUYONG 24 November – Sistem pelesenan khusus pengayuh beca diperkenalkan Melaka bukan sahaja menjadi mekanisme kawal selia perkhidmatan, malah kini mendapat perhatian beberapa negeri lain.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, Melaka merupakan negeri pertama melaksanakan sistem pelesenan khusus kepada pengayuh beca bagi memastikan golongan itu mematuhi standard perkhidmatan yang ditetapkan.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan inisiatif itu turut menarik perhatian beberapa negeri lain yang mengadakan lawatan ke Melaka bagi melihat sendiri sistem berkenaan untuk dijadikan panduan.
“Melaka satu-satunya negeri yang melesenkan pengayuh beca dan kini kita menjadi contoh serta panduan. MBMB menerima pelbagai lawatan daripada negeri lain yang berminat mengenai cara kita laksanakan sistem pelesenan khusus ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Taklimat Pengayuh Beca Negeri Melaka 2026 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, di sini, hari ini.
Terdahulu, majlis disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, Nasrul Ahmad serta Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.
Mengulas lanjut, Shadan berkata, pelaksanaan sistem pelesenan itu bertujuan memastikan pengayuh beca yang menjadi antara barisan hadapan industri pelancongan negeri sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung.
Katanya, aspek penampilan, komunikasi, layanan serta kadar caj perkhidmatan perlu diberi perhatian kerana tingkah laku pengayuh beca turut mencerminkan imej Melaka sebagai destinasi pelancongan.
“Jika mereka tidak bersedia menerima pelancong, menggunakan bahasa kesat, berpakaian tidak sempurna atau mengenakan caj terlalu mahal, perkara itu sebenarnya boleh memberi kesan kepada imej negeri Melaka.
“Oleh sebab itu kita melesenkan mereka bagi memastikan setiap pengayuh beca memahami tanggungjawab dan peranan sebagai barisan hadapan sektor pelancongan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

