Kit ujian COVID-19: Lagi murah lagi bagus, tapi…

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

KRUBONG 10 Sept – Farmasi-farmasi di negeri ini menyambut baik penjualan kit ujian pantas COVID-19 dengan harga lebih murah.

Pemilik Farmasi Krubong, Azraan Zakariah,32, berkata, harga siling lebih murah diyakini dapat membantu rakyat membelinya dengan harga mampu milik, selain ia dapat membantu mengesan jangkitan lebih cepat.

Bagaimanapun, katanya penurunan harga itu perlulah melalui satu mekanisme khusus, selain peniaga perlu dimaklumkan lebih awal bagi mengelakkan kerugian.

PENIAGA patuh arahan menjual kit ujian pantas COVID-19 pada harga siling RM19.90.

“Seperti sebelum ini, kami hanya dimaklumkan harga siling baharu RM19.90 tiga hari sebelum dikuatkuasakan yang mana sebelum itu, saya baru sahaja membeli 2,000 kit ujian pantas COVID-19 daripada pembekal.

“Ada pembekal yang sanggup memberikan rebat atau ganti rugi, namun ada juga yang enggan berbuat demikian hingga menyebabkan kerugian saya mencecah RM10,000.

“Kita memang setuju kit itu dijual dengan harga lebih murah, cuma diharap ia melalui proses yang tertentu, janganlah turun terlalu drastik dan kalau boleh penurunan harga itu mestilah melibatkan pembekal terlebih dahulu sebelum sampai ke farmasi,” katanya kepada Melaka Hari ini.

Katanya, selepas harga siling itu dikuatkuasa bermula 5 September lalu, pihaknya telah menjual kit ujian pantas COVID-19 mengikut harga yang ditetapkan iaitu RM19.90.

TIGA daripada 16 jenama kit ujian pantas COVID-19 yang diluluskan KKM.

Ujarnya, permintaan terhadap kit berkenaan masih lagi tinggi sehingga kini dan rata-rata pembeli menyambut baik penurunan harga tersebut.

“Di sini, kit itu bukan sahaja dijual di farmasi, bahkan kami turut menjualnya secara dalam talian.

“Boleh dikatakan permintaan itu tetap tinggi sebelum dan selepas harga siling ditetapkan.

“Cuma yang paling ketara ialah pembeli kini boleh membeli kit itu dengan kuantiti yang banyak iaitu sehingga lima kit setiap pembeli berbanding hanya satu atau dua sahaja setiap pembeli sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini di beberapa farmasi lain sekitar Cheng dan Pulau Gadong turut mendapati kesemua peniaga patuh dengan arahan penjualan kit berkenaan pada harga RM19.90 seunit.

Sehingga kini, terdapat 16 jenama kit ujian pantas COVID-19 telah mendapat kelulusan bersyarat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Senarai lengkap jenama dan maklumat tersebut boleh didapati di laman sesawang portal.mda.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera di bawah butang ujian kendiri COVID-19.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kerajaan sedang mengkaji untuk menurunkan lagi harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 menjelang akhir tahun ini.

Ia bagi membolehkan kit berkenaan mudah diakses oleh semua orang, selain dapat memperluas usaha pengujian COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

949
Kongsi :
Previous post Peruntukan RM5 juta caj warisan indahkan Bandar Melaka – MBMB
Next post Warga emas diugut dan disamun barang kemas bernilai RM6,000
Ubah saiz-+=