Warga emas sehelai sepinggang, pondok terbakar

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PANTAI KUNDOR 5 April – “Saya hanya mampu menangis apabila melihat pondok tempat saya berteduh musnah dalam sekelip mata,” luah mangsa kebakaran, Bilal Baba, 82.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi tadi, pondok didiami warga emas berkenaan di Taman Tangga Batu, Tanjung Kling, musnah terbakar.

Menurutnya, dia langsung tidak menyedari pondok didudukinya lebih 25 tahun lalu selepas kematian isteri terbakar sehingga dia terjaga untuk ke tandas.

“Kalau tengok keadaan api yang marak ketika itu mungkin sudah rentung saya. Saya sendiri masih terkejut.

“Selepas keluar dari pondok tadi saya amat bersyukur dan lega kerana masih dilindungi walaupun nekad keluar meredah api,” katanya.

BILAL

Menurutnya, dalam keadaan yang masih gelap itu dia hanya berharap agar ada jiran-jiran yang mendengar jeritannya.

“Mujurlah tidak lama selepas itu ada jiran yang datang serta menghubungi bomba. Memang tiada satu barang pun termasuk kad pengenalan yang dapat diselamatkan.

“Mungkin buat sementara ini saya akan tinggal bersama anak kerana sudah tiada tempat berteduh,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.39 pagi sebelum sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada jam 5.45 pagi dapat mengawal api 10 minit kemudian sebelum kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada jam 7.05 pagi.

“Kebakaran membabitkan pondok iaitu sebanyak 90 peratus dan ketika pasukan bomba tiba api sudah marak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

812
Kongsi :
Previous post Kampung Pulau semakin indah
Next post ‘Alhamdulillah, permintaan telur asin meningkat Ramadan kali ini’
Ubah saiz-+=