‘Alhamdulillah, permintaan telur asin meningkat Ramadan kali ini’

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER LIMAU 5 April – “Alhamdulillah, permintaan telur asin pada Ramadan kali ini meningkat berbanding tahun lalu dan 2020 kerana tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata usahawan wanita, Dahlia Md Dali, 48.

Usahawan terbabit sanggup bermandi keringat semata-mata untuk memastikan 3,000 biji telur asin yang dipesan pelanggan pada Ramadan kali ini, disiapkan mengikut jadual.

Bermula dua minggu sebelum Ramadan, Dahlia menguatkan semangat dan usaha bagi memastikan pelanggan menikmati telur asin berkualiti tinggi dihasilkan melalui kaedah merendam telur itik dalam air garam selama 10 hingga 14 hari.

Katanya, pada Ramadan 2020 dan tahun lalu, dia hanya mampu memasarkan antara 10 hingga 20 telur asin sehari, namun sekarang mencecah hingga 150 biji telur sehari.

TELUR itik diproses menjadi telur asin sebelum dijual

Dengan memasukkan 12 telur asin dalam satu balang, Dahlia hanya mengenakan caj RM10 kepada pelanggan yang kebanyakan mereka adalah peniaga gerai makan, bazar Ramadan dan individu.

“Saya bergantung kepada 250 itik telur diternak suami untuk mendapatkan bekalan telur. Setiap hari boleh kutip 100 hingga 150 biji telur, namun ada masa boleh mencapai 200 biji.

“Bukan semua itik bertelur setiap hari, ia bergantung kepada faktor pemakanan dan cuaca. Kalau itik makan banyak dan cuaca panas, lebih banyak pengeluaran telur.

“Namun jika berlaku kilat sabung-menyabung, tidak banyak itik yang bertelur,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Telok Berembang, di sini hari ini.

Sementara itu suaminya, Dzulkifli Mat Dali, 54, sibuk memelihara 250 itik telur, 100 itik pedaging dan 25 itik nila, selain 200 ayam kampung.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1066
Kongsi :
Previous post Warga emas sehelai sepinggang, pondok terbakar
Next post Guru rugi RM42,000 dijerat cinta palsu
Ubah saiz-+=