Guru rugi RM42,000 dijerat cinta palsu

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

MELAKA 5 April – Seorang guru wanita berputih mata apabila kerugian RM42,000 gara-gara terpedaya dengan sindiket ‘love scam’ seorang lelaki yang dikenali menerusi laman Facebook.

Mangsa berusia 27 tahun itu dikatakan berkenalan dengan lelaki yang menggunakan nama Alberta A Adams menerusi laman sosial itu pada 3 Mac lalu sebelum berhubung melalui aplikasi Whatsapp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata sepanjang perkenalan itu, suspek memberitahu mahu memberikan hadiah kepada mangsa sebagai tanda perkenalan.

Katanya, antara hadiah dijanjikan termasuk kasut jenama Dior, iPad Pro, kasut jenama Adidas barangan kemas, pakaian dan wang tunai USD3,000 (RM12,631).

“Pada 29 Mac lalu, suspek memberitahu barangan tersebut telah dihantar ke alamat rumah mangsa dan wanita itu mengesahkan memang ada barangan yang sampai di Kuala Lumpur selepas mangsa membuat semakan menerusi laman sesawang ‘Fast Express Shipping’.

“Bagaimanapun, suspek memaklumkan barangan tersebut ditahan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana mempunyai wang tunai yang banyak dan tiada sijil pengesahan.,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan

Mengulas lanjut, Sundra Rajan berkata mangsa diminta oleh suspek untuk membuat bayaran bagi melepaskan barangan tersebut sebelum menurut permintaan itu dan membuat bayaran secara berperingkat.

“Mangsa yang percaya telah mengikut arahan suspek dan membuat bayaran secara berperingkat sejak 30 Mac hingga 1 April lalu berjumlah RM42,000 atas pelbagai alasan termasuk untuk bayaran pengesahan sijil dan bayaran peguam.

“Selepas pembayaran dibuat, suspek menjanjikan barangan tersebut akan sampai di alamat rumah mangsa pada 1 April namun sehingga kini barangan tersebut masih tidak diterima sebagaimana dijanjikan.

“Malah, suspek masih meminta mangsa untuk membuat bayaran RM5,000 bagi kos penghantaran namun mangsa tidak mengikut arahan tersebut kerana percaya dirinya diperdaya,” katanya.

Menyedari dirinya ditipu, Sundra Rajan berkata mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada 2 April lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, orang ramai diminta supaya berhati-hati dalam mencari kenalan di laman sosial dan dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun serta nombor telefon suspek menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat naik aplikasi Semak Mule CCID.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

801
Kongsi :
Previous post ‘Alhamdulillah, permintaan telur asin meningkat Ramadan kali ini’
Next post Selepas 30 tahun, Opor Jariah tetap popular
Ubah saiz-+=