Selepas 30 tahun, Opor Jariah tetap popular

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PERINGGIT 5 April – Nasi Beriani Opor iaitu hidangan istimewa berasal dari Pekan, Pahang antara juadah berbuka puasa menjadi tarikan utama setiap kali bazar Ramadan Jalan Cempaka, di sini, sejak 30 tahun lalu.

Pengusaha gerai terbabit Jariah Mokhtar,72, berkata, hidangan istimewa itu ditawarkan dengan  25 jenis lauk kepada pengunjung yang singgah.

Dia yang mesra dengan panggilan ‘Mak’ berkata, hidangan lauk Opor yang dinantikan pelanggan tetap pada kebiasaanya dijual dalam bentuk set.

“Opor ini asalnya hidangan warisan keluarga dari Pekan dan ia merupakan lauk yang dimasak menggunakan pelbagai rempah seperti ketumbar, lada hitam, jintan manis dan jintan putih.

“Opor tak sama macam rendang kerana penggunaan rempah ratusnya lagi banyak dan rasanya juga tidak sama.

“Selain menjual lebih 25 lauk pauk kami juga menjual set beriani dengan pelbagai hidangan opor seperti opor ayam, opor daging, limpa dan kambing bermula RM10 sehingga RM15 untuk satu set,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

PELANGGAN beratur bagi mendapatkan Nasi Beriani Opor yang menjadi tarikan orang ramai dan dijual dengan harga RM10 bagi menu ayam dan daging, manakala RM15 bagi menu kambing ketika tinjauan Melaka Hari Ini di Bazar Ramadan Taman Cempaka, Bandar Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Jariah bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik untuk berniaga di bazar berkenaan, sekali gus menyaksikan sambutan amat menggalakkan berikutan kelonggaran diberikan pihak kerajaan.

“Alhamdulillah tahun ini sangat teruja bila lihat ramai pelanggan yang datang seperti suasana zaman sebelum negara dilanda COVID-19.

“Tapi biarpun dulu selalu berjaya habiskan lima hingga enam gantang nasi dalam sehari berbanding sekarang hanya kira-kira tiga gantang sahaja itu pun sudah syukur bagi saya.

“Resipi rahsia keluarga ini memang setiap tahun dinantikan pelanggan yang datang sehingga sanggup beratur panjang. Malah ada masanya seawal jam lima petang jualan sudah habis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1396
Kongsi :
Previous post Guru rugi RM42,000 dijerat cinta palsu
Next post Peniaga pasar Ramadan terima lesen
Ubah saiz-+=