HFMD: Melaka rekod 1,378 kes, tiada kematian dilaporkan – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH – Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka terus menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 1,378 kes telah direkodkan setakat 14 Mei.

EXCO Kesihatan Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 24.6 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu yang hanya merekodkan 56 kes.

Menurutnya, jangkitan tertinggi adalah membabitkan kanak-kanak berusia 0 hingga 6 tahun yang menyumbang 95.5 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya, setakat 14 Mei, 16 kluster atau wabak telah direkodkan dengan daerah Jasin merekodkan jumlah kluster tertinggi iaitu sebanyak 11 kluster.

“Ia diikuti daerah Melaka Tengah dengan empat kluster dan daerah Alor Gajah satu kluster.

“Secara keseluruhan, taman asuhan kanak-kanak (Taska), taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan pusat jagaan merupakan premis tertinggi berlaku wabak HFMD dengan merekodkan 12 kluster.

“Setakat 14 Mei, 12 premis berkenaan telah diarah tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, walaupun berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan HFMD, namun ia masih terkawal dengan hanya 67 kes dimasukkan ke hospital setakat 12 Mei.

“Majoriti kes iaitu 91.4 peratus yang dimasukkan ke hospital juga dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian dilaporkan setakat ini,” ujarnya.

Bagi mengawal jangkitan daripada terus meningkat, jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah mengambil langkah proaktif untuk memeriksa persekitaran premis berisiko seperti Taska, Tadika dan pusat jagaan, selain memberi khidmat nasihat mengenai aspek kebersihan premis.

Selain itu, jelas beliau, sesi ‘Townhall’ bersama semua pengusaha dan guru Taska, Tadika, pusat jagaan swasta dan kerajaan juga telah diadakan sebanyak empat sesi.

“JKN Melaka juga akan mengemaskini maklumat berkaitan HFMD di media sosial dan jika berlakunya wabak, arahan penutupan premis akan dikeluarkan sekiranya berlaku wabak HFMD di premis tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut menasihati ibu bapa agar tidak membawa anak-anak ke tempat awam dan sekolah sekiranya mempunyai tanda dan gejala penyakit HFMD.

Selain itu, katanya, pengusaha Taska, Tadika dan pusat jagaan di negeri ini juga diminta membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan tiada anak-anak dijangkiti, selain menitikberatkan aspek kebersihan premis dengan melakukan proses nyahkuman sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

771
Kongsi :
Previous post Tiada SOP buka budaya buli doktor pelatih
Next post Harga tepung pula naik
Ubah saiz-+=