Kelulusan permohonan pekerja asing akan disegerakan

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDA HILIR 25 Jun – Masalah kekurangan tenaga kerja khususnya pekerja asing menjadi antara perkara yang dibangkitkan pemain industri perniagaan dan perindustrian sejak akhir-akhir ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan mengambil maklum dan memandang serius mengenai masalah itu terutamanya dalam usaha pemulihan ekonomi yang sedang berlaku kini.

Justeru, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan supaya proses kelulusan permohonan pekerja asing disegerakan.

“Kerajaan memandang serius ke atas impak kekurangan pekerja asing ke atas ekonomi yang sering dibangkitkan oleh pihak industri. Setakat 10 Jun 2022, daripada kira-kira 266,000 kuota pekerja asing yang diluluskan, hanya 19,000 daripada 12 sumber negara yang telah memasuki Malaysia.

“Keutamaan Kerajaan adalah untuk memastikan bekalan pekerja yang mencukupi untuk menyokong pemulihan sektor perniagaan.

“Susulan daripada ini, Menteri Sumber Manusia dan Menteri Dalam Negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi serta pihak yang berkenaan bagi mempercepat serta mempermudahkan lagi proses kemasukan pekerja asing yang telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Perdana Menteri pada Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) ke-76 di Hotel Hatten, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Tan Sri Low Kian Chuan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Ngwe Hee Sem dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan bagaimanapun menggesa semua perusahaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing di masa akan datang.

Beliau meminta, semua perusahaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengaplikasikan penggunaan teknologi dan automasi untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

“Perusahaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran untuk mengambil peluang pelbagai kemudahan kewangan dan dana serta geran yang disediakan oleh pelbagai agensi Kerajaan untuk menyokong automasi dan pendigitalan ke arah mencapai Industri 4.0,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan amat mengalu-alukan penyertaan dan komitmen daripada pihak swasta dan komuniti perniagaan seperti yang ditunjukkan oleh ACCCIM untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi dalam menjalankan perniagaan.

Katanya, kerajaan akan terus memantapkan peranannya sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan isu dan cabaran berkaitan peraturan bagi menambah baik persekitaran perniagaan, melonjakkan produktiviti dan daya saing peniaga, serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

899
Kongsi :
Previous post Segera daftar Institusi Pendidikan Islam Swasta di Melaka – KM
Next post Raja sehari pertama dirai di Balai Istiadat Perkahwinan Melayu Melaka
Ubah saiz-+=