‘Tak sihat’ rupanya…

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PANTAI KUNDOR 17 Oktober – Kejadian amuk membabitkan seorang lelaki yang berlaku di Kampung Bukit Tempayan, di sini, pagi tadi dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan mental suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 37 tahun merupakan pesakit mental dan telah beberapa kali mendapat rawatan psikiatrik di Hospital Melaka.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek telah bertindak menumbuk isterinya sebelum memanjat bumbung rumah dengan membawa sebilah parang dan pisau pemotong.

“Menurut keterangan isterinya, suspek dikatakan telah lama enggan memakan ubat yang dibekalkan oleh hospital.

“Disebabkan kejadian itu, isterinya mengalami lebam di bahagian mata akibat ditumbuk, selain suspek turut bertindak memarahi tiga anaknya berusia dalam lingkungan 10 hingga 13 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sewaktu polis tiba, suspek yang juga seorang penganggur masih bertindak agresif dengan membaling pisau dan rerabung daripada bumbung rumah, namun tidak mengenai sesiapa.

Katanya, disebabkan kedudukan suspek yang agak sukar, pihaknya telah mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka untuk ke lokasi.

“Usaha memujuk juga telah dilakukan oleh pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan Cheng, tetapi suspek tetap enggan turun.

“Pelbagai usaha juga telah dilakukan dengan meminta anak-anak suspek supaya memujuk bapanya turun tetapi suspek tetap tidak mempedulikannya sebaliknya terus bercakap secara merapu dari atas bumbung.

“Setelah pelbagai usaha untuk meminta suspek turun tidak berjaya, anggota polis dan bomba telah bertindak memanjat bumbung dan berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditangkap pada kira-kira jam 1.40 petang,” ujarnya.

IMG-20221017-WA0007
KEADAAN bumbung rumah yang rosak akibat pergelutan. Foto: Ihsan orang awam

Beliau berkata, akibat pergelutan itu, seorang anggota polis telah mengalami kecederaan ringan, selain suspek turut cedera di kening dan beberapa bahagian badan.

“Pergelutan itu turut membuatkan beberapa keping atap telah pecah.

“Suspek kemudiannya telah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4630
Kongsi :
Previous post Jawatankuasa Pengurusan Bencana diaktifkan serta merta
Next post Pemandu treler ditahan bantu siasatan dakwaan dipukul anggota trafik
Ubah saiz-+=