Murah rezeki pak cik nasi lemak ‘viral’

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KOTA LAKSAMANA 3 Jun – Peniaga Nasi Lemak Eye On yang tular di media sosial hingga pelanggan terpaksa beratur panjang mendapat kejutan yang tidak disangka-sangka.

Ia selepas Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) datang menyampaikan sijil pelesenan peniaga kecil kepada peniaga itu, lewat malam tadi.

Sijil berkenaan disampaikan sendiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Rais dalam satu hantaran di laman Facebook beliau mengakui terkejut melihat sambutan orang ramai di gerai berkenaan walaupun pada lewat malam.

Malah, beliau turut memuji kuasa tular di media sosial yang digunakan dengan betul untuk membantu peniaga kecil di negeri ini.

“Saya sempat beramah mesra dengan para pembeli yang sanggup beratur panjang.

“Inilah sepatutnya yang dicontohi iaitu menggunakan kuasa “viral” bagi tujuan kebaikan dan perkara yang menguntungkan.

“Tahniah. Teruskan usaha menarik pelanggan dengan idea yang kreatif. Semoga sentiasa dimurahkan rezeki buat semua peniaga,” katanya.

Sebelum ini, gerai Nasi Lemak Eye On di kawasan berhampiran tapak lama Eye On Malaysia tular di media sosial apabila terlihat kelibat ramai pelanggan sanggup beratur panjang bagi merasai keenakan juadah kegemaran rakyat Malaysia itu.

Video berkenaan dikongsikan di beberapa platform media sosial antaranya TikTok dan Facebook yang menyaksikan rakyat pelbagai kaum turut memuji keenakan rasa nasi lemak tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7241
Kongsi :
Previous post Kekurangan tenaga kerja risaukan pekebun kecil
Next post Pekebun digalak hasilkan produk hiliran
Ubah saiz-+=