Abang bomba ‘bermandi peluh’ bina semula rumah mangsa kebakaran

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

REMBIA 10 Feb. – Enam pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka ‘bermandi keringat’ membina rumah seorang penduduk di Kampung Solok Seberang Perai, Sungai Petai, di sini, sejak awal bulan lalu.

Pembinaan itu antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) JBPM bagi membantu pemiliknya, Zakaria Abdul Rahman, 57, yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran pada 9 September lalu.

Ketua JBPM Zon 2 (Alor Gajah/Masjid Tanah), Penguasa Bomba Rohaya Alias berkata, pihaknya berterima kasih atas bantuan diberikan keenam-enam pegawai dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini.

Zakaria berterima kasih kepada semua pihak termasuk anggota bomba yang membantu pembinaan semula rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Solok Seberang Perai, Sungai Petai Alor Gajah.

Katanya, mereka ialah Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Jamian Salleh dari BBP Padang Temu, PBK II Zulkarnain Hamid (BBP Jasin Bestari), PBK II Mohd Nizam Abdullah dan PB Amirul Adli Rohni
(BBP Masjid Tanah) dan PBK II Mohd Wira Mohd Saad serta PBK II Mazlan Abu Hasan (BBP Alor Gajah)

“Pembinaan rumah ini dimulakan pada 7 Januari lalu dan dijangka siap sepenuhnya 4 April depan.

“Bagi Zon Alor Gajah/Masjid Tanah, projek ini adalah yang pertama selepas dua projek sama dibuat di Ayer Keroh tahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi pembinaan di Kampung Solok Seberang Perai, Sungai Petai di sini hari ini.

Bagi Jamian, meskipun terpaksa bermandi peluh di bawah terik matahari, mereka tabah menghadapi cabaran semata-mata untuk membantu menyediakan kediaman selesa buat Zakaria sekeluarga.

“Rumah dengan keluasan 22 x 34 kaki (kira-kira 6.7 x 10.35 meter) ini kami bina dengan kasih sayang sesama insan bagi mereka yang kehilangan harta benda akibat kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ali Hassan Ahmad Shamsuddin berkata, peruntukan RM40,000 projek itu disumbangkan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) manakala kerajaan negeri melalui Tabung Bencana Alam menyediakan sumbangan RM3,000.

Katanya, projek itu dilaksanakan melalui kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah dengan pelbagai agensi kerajaan terutama JBPM yang menyediakan tenaga kerja secara gotong-royong.

Dalam kejadian jam 6.45 petang, 9 September lalu, Zakaria dan ibunya, Ramlah Desot, 72, serta adiknya, Mokhtar, 56, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus.

Views:

491
Kongsi :
Previous post MUFC langsai hutang hampir RM1 juta
Next post Amir Hamzah Azizan dilantik CEO KWSP baharu berkuat kuasa 1 Mac ini
Ubah saiz-+=