MUFC langsai hutang hampir RM1 juta

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) berjaya menjelaskan tunggakan gaji, elaun dan caruman pemain serta pegawai berjumlah hampir RM1 juta menjelang pembukaan saingan Liga Malaysia 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, antara tunggakan dilangsaikan termasuklah gaji dan elaun pemain import musim lalu, Uche Agba serta bekas pemain, Curran Lawrence Singh Ferns.

Manakala bagi tunggakan seorang lagi bekas tonggak pertahanan import musim lalu, Narupon Wild Putsorn, pula jelasnya, ia akan dilunaskan dalam masa terdekat.

“Kita akan selesaikan sedikit masa lagi bagi mengelakkan tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Saiful memaklumkan pembayaran tunggakan gaji dan elaun pemain serta pegawai pasukan Melaka United musim 2020 juga sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.

Pembayaran berjadual itu ujarnya, membabitkan 17 pegawai pasukan musim lalu dan 18 pemain yang kekal bersama skuad Hang Tuah.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga berjaya melunaskan tunggakan keseluruhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah
mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang ditetapkan.

“Usaha menyelesaikan segala tunggakan bagi memastikan penyertaan MUFC dalam saingan Liga Malaysia 2021 yang dijadualkan bermula 5 Mac 2021 tidak berdepan masalah dan tidak dikenakan tindakan yang boleh menjejaskan imej bola sepak Melaka,” katanya lagi.

#mufc #UcheAgba

Views:

506
Kongsi :
Previous post ATA IMS Berhad sumbang 1,500 beg sekolah
Next post Abang bomba ‘bermandi peluh’ bina semula rumah mangsa kebakaran
Ubah saiz-+=