MU ucap selamat tinggal Piala Malaysia

1
697
Foto Sumber Facebook MUSA

MELAKA United (MU) mengucapkan selamat tinggal terhadap aksi Piala Malaysia 2020 selepas tewas 1-2 pada pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, semalam.

MU yang beraksi di laman sendiri selaku pasukan pelawat terpaksa menelan kepahitan apabila dibolosi dua gol hasil jaringan Ifedayo Olusegun Omosuyi dan Sandro da Silva di setiap babak.

Walaupun cuba bangkit selepas ketinggalan dua gol, namun jaringan yang dihasilkan penyerang sensasi Melaka, Uche Agba tidak cukup untuk membantu kemaraan skuad Hang Tuah lebih jauh dalam saingan kali ini.

Dalam aksi yang berlangsung dalam suasana hujan renyai itu, MU bermula garang seawal wisel permulaan dibunyikan dengan melakukan beberapa asakan ke arah pintu gol lawan.

Hasilnya seawal minit kedua mereka memperoleh peluang terbaik membuka tirai jaringan dalam situasi kucar-kacir di hadapan pintu gawang yang dikawal Mohd. Khairulazhan Mohd Khalid.

Info Sumber Facebook MUSA

Malangnya percubaan kapten pasukan, Jang Sukwon sedikit tersasar ke kiri pintu gol.

Tersentak dengan asakan itu, Selangor mula memperkemaskan permainan dan mengimbangi perlawanan.

Peluang keemasan Selangor hadir pada minit ke-11 selepas Wan Zack Haikal berjaya melepasi pertahanan MU, malangnya hantaran leretnya mencari Ifedayo Olusegun gagal disambar kemas.

Namun gol yang dicari-cari Selangor akhirnya tiba jua pada minit ke-20.

Ia berpunca daripada serangan balas daripada trio Selangor dengan Sandro da Silva dan Wan Zack Haikal memainkan peranan besar apabila berjaya melorongkan bola kepada Ifedayo yang tidak dikawal dan berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Keputusan tersebut kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, Melaka United cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan.

Namun mereka sekali lagi dikecewakan apabila Selangor berjaya menambah satu lagi jaringan hasil sepakan kencang Sandro yang berjaya membolosi gawang pada minit ke-51.

Bagaimanapun, hanya berselang empat minit selepas itu, Melaka berjaya merapatkan kembali jurang selepas hantaran Ahmad Syamim Yahya kepada Uche Agba berjaya diterjemahkan menjadi gol.

Hasil gol pertama itu, anak buah Zainal Abidin Hassan tampak lebih bersemangat mencari gol penyamaan.

Peluang mereka hadir pada minit ke-62, selepas Sony Norde berjaya melepasi beberapa pemain Selangor, malangnya sepakan yang dilakukan hanya sedikit tersasar.

Zainal melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Deevan Raj dan Safiq Rahim untuk menguatkan lagi barisan hadapan.

Namun, perubahan taktikal itu tidak memberi apa-apa kesan apabila keputusan itu kekal sehingga pengadil perlawanan Hamdan Awang membunyikan wisel penamat.

Kekalahan itu menyaksikan langkah Melaka United menamatkan saingan Liga Malaysia dengan keputusan yang sedikit menghampakan.

Selain tersingkir awal di Piala Malaysia, mereka turut sekadar menduduki tangga ke-9 Liga Super 2020.

Selangor selaku pemenang, bakal berdepan Kedah dalam aksi suku akhir yang dijadual berlangsung sama ada 12 atau 13 November depan.