‘Abang Viva’ kini sebahagian warga APM

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 7 Jan – ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya Azwan Omar kini bergelar anggota sukarelawan dan menjadi sebahagian daripada warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, Azwan, 29, akan menjalani beberapa siri kursus dan latihan penyelamatan yang disediakan APM selepas ini.

“Kita mahu Azwan mendalami ilmu penyelamatan ini dan kita syor ianya menjadi sebahagian daripada warga cemerlang pertahanan awam khususnya di Melaka.

“Ini bermakna, khidmat yang diberikan lebih berstruktur, bermula sebagai sukarelawan memandangkan ketika ini beliau (Azwan) mempunyai kerja hakiki.

“Jadi sekiranya ada waktu terluang, bolehlah beliau bersama kita (APM) sebagai sukarelawan pasukan pertahanan awam bagi memberi khidmat kepada masyarakat selepas ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Terdahulu APM Melaka diketuai Cuthbert mengunjungi Azwan di rumahnya dekat Taman Pengkalan Indah, Melaka Indah bagi menyampaikan sijil penghargaan dan menawarkan kepadanya sebagai anggota sukarelawan pertahanan awam.

Azwan sebelum ini tular di seluruh negara kerana sanggup datang dari Melaka dengan mengikat bot di atas sebuah kereta jenis Viva dan berbekal duit poket RM50 membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

Kesungguhan Azwan menjadi sebutan termasuk Imam Masjid Negara dalam khutbah solat Jumaat dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka pada 27 Disember lalu.

Selain itu, kata Cuthbert, pihaknya akan membantu Azwan menjalani latihan penyelamatan yang lebih tersusun dan bersistematik agar beliau lebih bersedia serta berkeyakinan dalam menjalankan tugas sukarelawan kepada masyarakat nanti.

“Kita akan melatih beliau mengikuti kursus penyelamatan yang lebih lengkap serta menjalani latihan demi latihan supaya bila dia turun memberi khidmat di tempat bencana nanti, dia lebih bersedia dan berkeyakinan.

“Ini kerana pada masa itu Azwan sudah lebih bersedia dan yakin kerana telah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan pelbagai skil pertahanan awam,” katanya.

Katanya, melalui khidmat sukarelawan itu, Azwan layak menerima elaun tugas mengikut tempoh masa khidmat yang diberikan.

“Bayaran elaun itu bergantung kepada keperluan tugas dan sekiranya dia ada melapor diri untuk bertugas..ia mengikut keperluan serta jika ada panggilan daripada pihak kita untuk bertugas,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mempelawa lebih ramai golongan muda seperti Azwan agar tampil menawarkan diri menyertai pasukan pertahanan awam dan terlibat dengan tugas sukarelawan dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat yang ditimpa bencana seperti kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1475
Kongsi :
Previous post Save 3.0 tawar rebat hingga RM400 bagi pembelian alatan elektrik cekap tenaga
Next post Saham wakaf bina Masjid Pulau Besar terima sumbangan RM66,000
Ubah saiz-+=