ADUN Ayer Limau ‘berkampung’ bantu mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER LIMAU 18 Dis – Banjir buruk yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negerinya, Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Beliau berkata, pihaknya akan ‘berkampung’ di kawasan terjejas dalam memudahkan segala urusan mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana dibantu pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan tentera Malaysia (ATM) sepanjang bencana yang berlaku kali ini.

“Saya difahamkan ini adalah banjir terburuk selepas kali terakhir pada 1971, maksudnya sudah 50 tahun tidak jadi banjir sebesar ini.

“Jadi, kita juga risau jika berlaku gelombang kedua malam ini yang mana kita akan berusaha untuk menghulurkan bantuan sewajarnya bersama semua agensi terlibat.

“Saya akan melihat segala keperluan termasuk bangunan-bangunan yang bersesuaian untuk dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya jumlah mangsa banjir terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China, hari ini.

HAMEED

Dalam pada itu, Hameed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan banjir berlaku disebabkan terdapat ban empangan Sungai Lubok China yang pecah pada kejadian banjir sebelum ini.

Selain itu, katanya, keadaan sekeliling yang diliputi ladang kelapa sawit turut menyumbang masalah air deras sehingga kejadian banjir berlaku begitu pantas.

“Jadi, kita berharap agensi terlibat menyegerakan pembaikan ban pecah di empangan selain pengurusan di tali air juga perlu diselenggara dengan baik.

“Pada masa sama, kita juga akan mengadakan rundingan bersepadu dengan pelbagai jabatan dan pengusaha ladang kelapa sawit untuk mengelakkan situasi sama berulang lagi di masa akan datang,” katanya.

Hameed berkata, setakat ini sejumlah 122 mangsa banjir di Ayer Limau telah dipindahkan ke dua PPS yang disediakan iaitu di Sekolah Kebangsaan Telok Berembang dan SMK Lubok China.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

839
Kongsi :
Previous post Sang Bedal sesat atas Jambatan Linggi
Next post PRN Sarawak: SPR sahkan GPS menang majoriti mudah, bentuk kerajaan negeri
Ubah saiz-+=