Agenda perpaduan nasional diperhebat

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA SUNGAI BARU, 25 Ogos – Dalam usaha mengukuhkan lagi kesepaduan sosial dan integrasi nasional, Pelan Tindakan Perpaduan Negara dilihat mampu menjadi platform kepada pemantapan agenda perpaduan nasional.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata, menerusi pelan tersebut, ia dapat diterap secara menyeluruh berlandaskan prinsip Rukun Negara.

“Saya menyambut baik pelaksanaan Pelan Tindakan Perpaduan Negara bagi memastikan agenda perpaduan nasional dapat diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen-elemen kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 di Auditorium Ibn. Khaldun Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka Habibah Jaafar serta Naib Canselor KUIM Datuk Dr. Mohd Taib Dora.

Bertemakan ‘Berfikir Perpaduan Bersama Rakyat’, beliau menyambut baik sesi maklum balas rakyat yang mana bukan semata-mata mendapatkan pandangan orang ramai, malah turut mengambil kira nasihat serta teguran dari rakyat amnya.

“Sebagai EXCO Perpaduan Negeri Melaka, saya menyanjung tinggi penganjuran sesi maklum balas rakyat ini bukan sahaja bertujuan mendapatkan pandangan atau maklum balas orang ramai semata-mata, tapi juga mendengar nasihat, bantahan dan juga teguran daripada rakyat berhubung soal perpaduan.

“Kerajaan negeri juga memandang serius aspek perpaduan negara sejajar dengan keunikan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum,” jelasnya.

Views:

829
Kongsi :
Previous post M-WEZ mampu jana pelaburan RM100 bilion
Next post Liga-M kembali rancak, sajikan 84 perlawanan
Ubah saiz-+=