Agong berkenan beri sumbangan peribadi kepada waris anggota TLDM

Masa Membaca:59 Saat

KUALA LUMPUR, 16 April – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberikan sumbangan peribadi kepada waris dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang maut akibat kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, Sabah, Rabu lepas.

Sumbangan berkenaan diserahkan Juruiring Tentera Laut kepada Yang di-Pertuan Agong Laksamana Pertama Datuk Sharum Shaim kepada waris mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan takziah kepada kedua keluarga Allahyarham dan harapan agar tabah serta sabar menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

“Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yg beriman,” menurut catatan di Facebook Istana Negara, hari ini.

Pada 13 April lalu, Ahmad Faiz Mohd Hanif, 39, dan Norasnizam Mohd Alui, 36, maut apabila motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Sabah Port, Sepanggar, Kota Kinabalu.

Kedua-dua mangsa yang berpangkat Bintara Kanan bahagian kejuruteraan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Allahyarham Ahmad Faiz yang berasal dari Negeri Sembilan bertugas di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, manakala Norasnizam dari Perlis bertugas di Kapal Diraja (KD) Selangor, Kota Kinabalu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

980
Kongsi :
Previous post COVID: 9,673 kes baharu semalam
Next post Tajuk-Tajuk Utama Akhbar: Sabtu 16 April 2022
Ubah saiz-+=