Agong hadir Majlis Jamuan Teh bersama rakyat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Jun – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Melaka di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 5.30 petang itu disambut Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Jamuan Diraja itu turut dihadiri Duta Setiakawan Pelancongan Melaka Fan Bingbing serta kira-kira 1,200 rakyat Melaka.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyumbangkan 500 bakul makanan kepada asnaf menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor.

Jamuan tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka, Institut Warisan Melaka (INSWA), Briged Seni Melaka serta pelajar dari beberapa buah sekolah yang diiringi Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Sultan Ibrahim meluangkan masa hampir satu jam bersama rakyat pada majlis itu dan selepas itu berkenan berangkat mengadakan lawatan di sekitar Bangunan Merah (Stadthuys), Banda Hilir.

Terdahulu pada sebelah pagi, Seri Paduka Baginda berkenan memasyhurkan Masjid Sultan Ibrahim di Kampung Ayer Hitam Pantai dan menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah.

Majlis itu diadakan bersempena keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke Negeri Melaka selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad.

Pagi esok, Sultan Ibrahim dijadual mencemar duli merasmikan Pameran Hang Tuah, Pameran Automotif Klasik Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Manakala, pada sebelah malam pula, Seri Paduka Baginda berkenan hadir ke Majlis Santapan Malam dan Persembahan Muzikal Gita Citra di Encore Impression City Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

173
Kongsi :
Previous post Kurniaan Bakul Makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor
Next post Bayi lima bulan patah tangan kiri di rumah pengasuh
Ubah saiz-+=