Agong zahir penghargaan kepada kerajaan Jepun atas sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi perhargaan kepada Kerajaan Jepun atas sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca bagi meningkatkan keupayaan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook rasminya menyatakan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan Jepun dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

“Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda kepada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Oka Hiroshi, atas kemurahan hati Kerajaan Jepun menyumbang sejuta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia.

“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi PICK,” kata kenyataan itu hari ini.

Bekalan vaksin berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Japan Airline JAL723 pada jam 5.20 petang kelmarin.

VAKSIN AstraZeneca sumbangan Kerajaan Jepun selamat tiba di KLIA. Foto – Istana Negara.

Sumbangan ini juga sekali gus menjadikan jumlah vaksin keluaran AstraZeneca yang diterima oleh Malaysia adalah sebanyak 1,828,000 dos sehingga 1 Julai.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” kata kenyataan itu yang dimuat naik bersama gambar ketibaan vaksin berkenaan di KLIA.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

538
Kongsi :
Previous post Peniaga, penganjur bazar rugi RM1.3 juta
Next post Kelonggaran SOP: Kerajaan kaji data COVID-19
Ubah saiz-+=