“Ahli majlis, PBT perlu proaktif” – KM

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 1 Dis. – “Ahli majlis dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu sentiasa proaktif dari segi pemantauan,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Menurutnya, usaha atau kaedah pemantauan perlu ditingkatkan supaya perkhidmatan diberi kepada rakyat benar-benar berkesan.

“Kita semua sedia maklum, aduan ini merupakan indikator kebolehharapan dan kebergantungan rakyat kepada PBT.

“Justeru, semua permasalahan, isu mahupun cadangan perlulah diselesaikan segera dalam
tempoh yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra YAB Ketua Menteri bersama Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka 2020 di Hotel Ames, hari ini.

Jelasnya, segala masalah perlu disampaikan kepada PBT dahulu sebelum ianya dijumpai rakyat.

“Apa yang saya nak sampaikan di sini, biarlah PBT jumpa dahulu masalah sebelum masalah ini dijumpai rakyat.

“Ahli majlis dan PBT juga perlu berhemah dalam perbelanjaan bagi memastikan setiap projek dibuat berasaskan keperluan rakyat dan memberi impak besar kepada harapan rakyat,” katanya lagi.

Tambahnya, rentetan pandemik COVID-19, PBT juga diminta supaya memberi peluang kepada penjaja kecil dan peniaga mencari rezeki.

“Ahli majlis perlu pastikan aktiviti menjaja dipantau dan ditempatkan di kawasan yang bersesuaian serta selamat.

“Dengan maksud lain selamat menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak menimbulkan masalah kepada orang ramai,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Melaka Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.

Views:

696
Kongsi :
Previous post SPRM kesan individu bantu kes salah guna cap sempadan
Next post RM9.4 juta tangani hakisan sungai – Idris
Ubah saiz-+=