Ahmad Jamil, Ketua Polis Daerah Jasin yang baharu

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

JASIN 17 Februari – Bekas Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, dilantik Ketua Polis Daerah Jasin yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Ahmad Jamil, 45, sebelum ini menyambung pengajian di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam bidang Sarjana Sains Sosial (Sains Kepolisan) menggantikan Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman, memangku jawatan berkenaan sejak Disember tahun lalu.

Majlis serah terima tugas antara Ahmad Jamil dan Mohd Fadzli disaksikan Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dalam majlis berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini.

Ketika ditemui Ahmad Jamil berkata, tugas pertamanya adalah mendampingi masyarakat setempat bagi mendengar permasalahan khusus berkaitan isu keselamatan, masalah sosial dan jenayah di daerah itu.

Katanya perkara itu adalah selaras dengan hasrat ketua polis negeri yang mahu setiap pegawai dan anggota memenangi hati masyarakat.

“Berikutan itu saya amat mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada penduduk Jasin. Saya tidak ada masalah untuk berkongsi nombor telefon dengan masyarakat. ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada masih kita pegang hingga ke hari ini.

“Saya juga tidak akan berkompromi jika ada dalam kalangan pegawai atau anggota terbabit dalam jenayah, penyalahgunaan dadah atau kuasa. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas berkenaan yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah dan Ketua Cawangan Khas negeri, Asisten Komisioner Mohamed Mahat.

Pada majlis sama, turut diadakan majlis terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Jasin antara isteri Ahmad Jamil iaitu Khairuneesya Dolfatah dan pemangkunya, Nurul Faezah Abdullah.

Anak jati Pulau Pinang dilahirkan di Butterworth ini memulakan perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2001.

Sepanjang bersama PDRM beliau pernah bertugas di beberapa jabatan dan bahagian di Bukit Aman selain IPK Selangor sebelum bertukar ke IPK Melaka pada 2007.

Ketika di IPK Melaka, beliau pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sebelum bertukar ke Bahagian Persenjataan, Jabatan Logistik dan Teknologi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4487
Kongsi :
Previous post Lapan flagship PSMJ2035 versi ketiga dibentangkan
Next post Polis siasat dakwaan anggota jalin hubungan sulit dengan isteri orang
Ubah saiz-+=