Aidilfitri: Sampah di Melaka dijangka meningkat tiga kali ganda

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 28 April – Kutipan sampah di Melaka dijangka meningkat tiga kali ganda pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata EXCO Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan.

Katanya, peningkatan itu dijangka berlaku berikutan umat Islam dibenarkan menyambut hari raya selepas dua tahun, dengan kerajaan turut mengumumkan lebih banyak kelonggaran.

Justeru, katanya bagi memastikan tidak berlaku lambakan sampah sepanjang Aidilfitri, SWM Environement Sdn Bhd (SWM Environment) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melancarkan strategi pembersihan dan operasi khas yang akan bermula 25 April hingga 7 Mei ini.

Jelasnya, antara strategi yang digariskan ialah memberi tumpuan kepada 87 lokasi ‘hotspot’ tong sampah berpusat iaitu membabitkan 49 lokasi di daerah Melaka Tengah, 21 di Jasin dan 17 di Alor Gajah.

“Tong sampah berpusat ini kita letakkan di lokasi tumpuan untuk mengelakkan sampah longgok dan pembuangan sampah domestik dan pukal yang tidak terkawal sepanjang Aidilfitri.

“Selain lokasi hotspot, kita juga akan memberi tumpuan kepada operasi berjadual pasar awam, pembersihan pusat bandar, pantai dan tempat awam demi mengelakkan lambakan sampah.

“Jadi, saya menyeru kepada orang ramai agar tidak melakukan pembaziran sepanjang Aidilfitri ini kerana pembaziran itu akhirnya akan ke tong sampah dan seterusnya meningkatkan kutipan sampah di negeri ini sepanjang Aidilfitri nanti,” katanya.

ZAIDI dalam sidang media Pelan Strategi Operasi Sempena Aidilfitri.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pelan Strategi Operasi Sempena Aidilfitri 2022 di sebuah hotel, di sini, yang turut dihadiri Pengurus Besar SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengarah SWCorp Melaka Khairuladha Ab Mutalib.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, operasi pembersihan sepanjang Aidilfitri bakal melibatkan seramai 946 anggota bersama 197 jentera.

Buat julung kalinya juga, katanya, SWM Environment akan melakukan jadual kutipan lebih awal iaitu bermula jam 2 pagi pada Aidilfitri ini.

“Berbanding hari-hari biasa, pada Aidilfitri ini kita anjakkan jadual lebih awal pada jam 2 pagi bagi memberi ruang kepada kakitangan untuk solat Subuh dan seterusnya menunaikan solat Sunat Aidilfitri.

“Jika masih ada kutipan sampah perlu dilakukan, mereka akan menyambung semula operasi selepas itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1414
Kongsi :
Previous post Ismail Sabri luang masa temani anak yatim, asnaf beli baju raya
Next post Pantai Hospital Ayer Keroh bawa keceriaan kepada anak-anak tahfiz
Ubah saiz-+=