Air Panas Gadek bawa limpahan ekonomi pada orang kampung

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

GADEK 1 Februari – Penduduk sekitar Kompleks Air Panas Gadek tidak mahu melepaskan pelbagai peluang ekonomi yang bakal wujud selepas destinasi tarikan pelancong berwajah baharu itu mula beroperasi tidak lama lagi.

Penduduk, Halina Mamat, 57, berpendapat tarikan pelancongan itu bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi penduduk khusus di pinggir dan kawasan luar bandar.

Photo1706765423
HALINA.

Katanya, Kompleks Air Panas Gadek dianggap sebagai pelengkap kepada pelancongan luar bandar sedia ada sekitar khususnya penawaran makanan dan kuih tradisional oleh peniaga selain produk kampung, kraf tangan serta hasil pertanian.

“Jika dari Plaza Tol Simpang Ampat kira-kira 10 ke 15 minit sahaja sudah sampai ke Kompleks Air Panas Gadek, puas bermain air pengunjung boleh ‘window shopping’ atau singgah ke A’Famosa Resort.

“Sebagai anak tempatan saya berasa bangga dengan pembaharuan dilaksanakan, jauh beza jika dibandingkan era 80-an dahulu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Haslina Md Yusof, 63, berharap pihak berkenaan melaksanakan promosi agresif bukan sahaja bagi memperkenalkan Kompleks Air Panas Gadek sebaliknya pelbagai lagi perkhidmatan dan tarikan lain sekitar.

Photo1706765542
HASLINA.

Haslina berkata, Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) adalah masa yang terbaik untuk mempromosikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek sebagai destinasi pelancongan luar bandar.

“Ramai yang bakal dapat manfaat, akan ada peluang pekerjaan baharu untuk anak tempatan, peniaga kecil boleh tingkatkan hasil jualan, tetapi apa yang penting perlu rajin dan manfaatkan peluang terhidang ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6898
Kongsi :
Previous post Kompleks Air Panas Gadek dijangka beroperasi selepas Aidilfitri
Next post Abang maut, dua adik cedera motosikal terbabit kemalangan
Ubah saiz-+=