Kompleks Air Panas Gadek dijangka beroperasi selepas Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

GADEK 1 Februari – Kompleks Air Panas Gadek yang berwajah baharu dijangka akan mula dibuka semula kepada orang ramai selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemajuan projek itu kini sudah menghampiri 95 peratus dan dijangka siap sepenuhnya 20 Februari ini.

Menurutnya, Kompleks Air Panas Gadek yang dinaik taraf mengikut konsep ‘Wellness and SPA Resort’ mampu menjadi antara tarikan pelancongan baharu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Destinasi pelancongan berwajah baharu ini membabitkan tapak seluas empat hektar, pembangunannya menggunakan peruntukan RM18 juta daripada Kementerian Ekonomi.

“Sumber air panas semula jadi sejak ratusan tahun lalu kita manfaatkan dengan menambahbaik dan membangunkan fasiliti lebih moden bagi menggamit kunjungan lebih ramai pelancong ke Negeri Melaka,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Projek Pembangunan Kompleks Air Panas Gadek, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MCorp, Datuk Lim Chow Beng; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr. Saifuddin Abdul Karim serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, fasiliti di destinasi pelancongan itu ditambah baik agar sesuai bagi aktiviti riadah keluarga.

Jelas Ketua Menteri, Kompleks Air Panas Gadek yang berwajah baharu kini turut dilengkapi 20 unit bilik hotel setingkat; lapan unit chalet berkembar, satu unit Spa Keluarga serta pelbagai lagi.

“Kemudahan lain disediakan untuk kelesaan pengunjung adalah sebuah kolam air panas keluarga dan individu, sebuah kolam taman tema berair sejuk, restoran serta dewan terbuka.

“Kerajaan Negeri meneliti perkembangan semasa kemajuan projek ini, berhubung kadar tiket masuk pula akan dinilai selepas keseluruhan pembangunan dilaksanakan siap,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1507
Kongsi :
Previous post Hobi jadi rezeki tauke ayam baka
Next post Air Panas Gadek bawa limpahan ekonomi pada orang kampung
Ubah saiz-+=