‘Air susu’ belenggu penduduk Perkampungan Portugis

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDAR HILIR 10 Mei – Penduduk di Perkampungan Portugis, di sini, bukan sahaja bimbang akan keselamatan diri mereka malah risau perniagaan diusahakan terjejas susulan masalah bekalan air yang didakwa tercemar.

Penduduk mendakwa masalah air kotor sehingga kelihatan seperti air susu berlarutan sejak dua minggu lalu sehingga ada yang mengadu mengalami kegatalan kulit.

Dakwa mereka lagi, masalah itu terjadi selepas kerja-kerja pengorekan saluran paip di perkampungan itu tiga minggu lalu sehingga menerima bekalan air keruh pada waktu pagi dan malam.

Bagi penduduk Philip Dias, 57, berkata, selepas kejadian bekalan air tercemar badannya mengalami kegatalan dipercayai berpunca daripada kejadian itu.

“Sebelum ini tiada pun gatal-gatal kulit tetapi sejak insiden itu masalah kegatalan ini berlaku.

“Kita pun tidak pandai tetapi mungkin bakteria daripada air kotor itu terkena pada badan,” katanya.

Menurut peniaga gerai makan, Connie Elizabeth Derouche, 57, berkata, sejak berlaku pencemaran air itu perniagaannya agak terjeas apabila pelanggan kurang berkunjung untuk menjamu selera.

“Sebelum ini pernah ada kejadian air tercemar tetapi tidak seteruk kali ini, warnanya macam kapur pun ada.

“Saya hendak berniaga pun susah apabila pelanggan tidak lagi ramai ke kedai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Komuniti Perkampungan Portugis, Marina Linda Danker berkata, kejadian itu menimbulkan rasa kebimbangan dalam kalangan penduduk sama ada selamat digunakan atau sebaliknya.

“Kita minta agar pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) melakukan dan menjalankan sampel air. Saya ada tanyakan orang luar mereka turut luahkan perkara sama.

“Kita bukan apa, risau kalau betul ada bahan kimia atau apa kerana air keperluan utama digunakan untuk memasak, mandi dan pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1550
Kongsi :
Previous post Melaka bakal jadi negeri transit jemaah umrah Indonesia
Next post Sudah-sudahlah berpolitik! Rakyat Melaka mahukan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’
Ubah saiz-+=