Sudah-sudahlah berpolitik! Rakyat Melaka mahukan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’

Masa Membaca:2 Minit, 53 Saat

BAHARU sahaja melepasi 100 hari pemerintahannya Ramadan lalu, Kerajaan Negeri Melaka digegarkan lagi dengan isu ‘Ketua Menteri sementara’. Isu ini adalah isu lapuk yang diputarkan kembali dengan tujuan tertentu.

Apa tujuannya, kita tidak pasti! Sedikit sebanyak tentunya kerajaan negeri Melaka yang ada sekarang akan membuang masa menjawab isu ini. Tumpuan pemimpin utama negeri akan sedikit tersasar dengan isu ini.

Akhirnya, yang akan terkesan adalah rakyat Melaka. Umpama ‘Rumah siap, pahat berbunyi’, ia tentunya merimaskan rakyat bawahan. Baru sahaja mahu bangkit dari ‘kesusahan’ semasa pandemik, dihidangkan pula dengan isu ini.

Isu ‘Ketua Menteri sementara’ adalah isu yang dimainkan pembangkang pasca Mac 2020. Setelah kehilangan kuasa akibat ahli sendiri yang berpaling tadah, mereka menghalakan tumpuan kepada pemimpin negeri.

Ini dilakukan dengan tujuan mengikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri Melaka ketika itu. Malang bagi mereka yang mengharapkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali tidak diyakini. Begitu juga UMNO yang kembali bangkit di bawah pimpinan Datuk Seri Rauf.

Keadaan sebaliknya terjadi. Kerajaan Negeri dan UMNO BN bangkit serta menyantuni rakyat Melaka. Rakyat bersama pemimpin bersatu hati dan berpadu tenaga bekerja demi memajukan negeri Melaka.

Hasilnya dapat dilihat apabila kerajaan negeri memberikan banyak insentif kepada rakyat. Inisiatif seperti pengurangan cukai, pengecualian lesen perniagaan dan pelbagai lagi dibuat ketika rakyat berhadapan kesukaran ketika pandemik covid 19.

UMNO sebagai tunjang kepada kerajaan negeri pada tahun 2020 dan 2021 juga banyak membantu kerajaan negeri. Mengurangkan ‘politiking’ serta memudahkan urusan kerajaan negeri membuktikan UMNO berjiwa besar demi rakyat Melaka.

Ketika rakyat mula menikmati keamanan, muncul pengkhianatan yang menyebabkan kerajaan negeri tumbang. Sekali lagi rakyat dihidangkan dengan drama politik yang penuh muslihat serta memualkan.

Pilihan terbaik ketika itu adalah mencari kerajaan negeri yang stabil serta mampu menguruskan negeri dengan baik. Maka itu, mandat dipulangkan kembali kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu yang stabil serta diyakini.

Hasilnya, kerajaan baharu negeri Melaka ditubuhkan dengan mandat yang lebih besar. Tentunya dengan mandat yang besar, kerajaan ini mampu membawa kestabilan daan kemakmuran seperti yang dijanjikan.

Rakyat gembira kerana pilihan yang dibuat boleh dikatakan tepat! Tiada lagi lompat-melompat parti, tiada lagi ‘pesta lelongan’ wakil rakyat dan pelbagai lagi yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik.

Namun langit yang diharap panas hingga ke petang, telah mula mendung di tengahari. Drama sama sebelum PRU dan PRN muncul kembali, cuma kali ini dengan plot yang berbeza. Ia tetap menggegarkan kerajaan negeri biarpun tidak kuat.

Bagi rakyat kebanyakan, sudah-sudahlah berpolitik! Tumpuan kini harus kepada semangat kerja untuk memajukan Melaka. Pemimpin politik dan kerajaan di peringkat negeri perlu merangka strategi meningkatkan ekonomi dan memakmurkan rakyat.

Kini bukannya masa untuk berpolitik. Rakyat sudah muak dengan mainan politik yang keterlaluan. Memetik kata Ketua Perhubungan UMNO negeri, Melaka seharusnya menjadi contoh ‘politik stabil’ kepada pihak-pihak lain.

Tambahan pula, kemungkinan besar negara bakal menghadapi PRU ke 15 dalam masa terdekat. Tumpuan seharusnya dibulatkan kepada matlamat ini. Bukannya berbalah sesama sendiri dalam isu yang boleh dimanipulasi lawan.

Jangan sampai mandat besar yang diperolehi pada PRN lalu menjadi kayu ukur kehampaan rakyat yang berharap. Rakyat semakin bijak menilai. Jangan biar rakyat meluat dan bertindak balas sehingga menukar sokongan lagi.

Sempena semangat Syawal ini, mari kita sama-sama rapatkan saf, menggembeleng tenaga bersama demi Melaka yang tercinta. Berperananlah mengikut apa yang telah diamanahkan kepada kita.

Sudah-sudahlah berpolitik! Ingati kembali segala janji yang dibuat semasa PRN lalu iaitu “Kestabilan Demi Kemakmuran”. Pelaksanaan ini yang dituntut rakyat dari para pemimpin, bukan hanya janji kosong semata-mata.

Kita mampu melakukannya….

Anuar Shaari
MHI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1693
Kongsi :
Previous post ‘Air susu’ belenggu penduduk Perkampungan Portugis
Next post Pahang rekod 1,145 kes HFMD setakat 7 Mei
Ubah saiz-+=