Ajak belia ceburi bidang akuakultur

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

LUMUT, 25 Ogos – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyeru golongan belia supaya melibatkan diri dalam bidang akuakultur bagi membantu meningkatkan bekalan ikan dalam negara.

Pengerusinya Faiz Fadzil berkata langkah itu juga untuk memastikan bidang akuakultur dapat menyumbang 60 peratus daripada hasil ikan negara sepertimana hasrat kerajaan.

“Golongan belia tidak seharusnya terikat dengan kaedah konservatif perikanan iaitu menangkap ikan di laut sahaja, sebaliknya memanfaatkan peluang termasuk dalam bidang akuakultur yang menjanjikan pulangan lumayan.

“LKIM berperanan memberikan segala bantuan sama ada sokongan modal, khidmat nasihat, panduan kepada pengusaha, memudahkan permohonan dan sebagainya, supaya lebih ramai anak muda terlibat dalam bidang ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Jualan Jimat@Madani di Dewan Serbaguna LKIM Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata antara sebab utama golongan muda kurang melibatkan diri dalam bidang akuakultur adalah kerana ia memerlukan modal yang tinggi untuk memulakan perniagaan.

“Namun, perkara ini sebenarnya boleh diatasi jika dimulakan dalam skala kecil dan paling penting sentiasa mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi berkaitan, agar segala bantuan diperolehi untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Terdahulu, LKIM menyumbang bantuan berjumlah RM450,000 kepada 33 nelayan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kerian, Manjung Utara, Manjung Selatan, Pulau Pangkor dan Hilir Perak meliputi bantuan enjin sangkut dan beberapa keperluan lain.

Mengulas mengenai program jualan tersebut, Faiz berkata ia bertujuan menawarkan pelbagai pilihan hasil laut segar terus kepada pengguna daripada bot nelayan yang mendarat di jeti pendaratan ikan berhampiran pasar-pasar nelayan LKIM.

“Selain ikan segar, terdapat juga penawaran membabitkan pilihan alternatif ikan sejuk beku Qfish dengan penjimatan harga sekali gus memberi faedah kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1268
Kongsi :
Previous post Masjid bukan medan perbalahan politik
Next post Bayi masih hidup ditemui dalam tong sampah
Ubah saiz-+=