‘Akhirnya berdamai juga’

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 26 Jun – Mekanik dan biro keselamatan taman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di, sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan gaduh gempar, kelmarin.

Tertuduh Mohamad Tarmizie Ab Azis, 33, dan Johar Khamis, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan gaduh gempar dalam kejadian di hadapan Medan Selera Majlis Bandaraya Melaka Tengah (MBMB) Bukit Rambai, pada jam kira- kira 5 petang, pada 24 Jun 2020.

Justeru kedua- dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM6,000 setiap seorang.

Kedua- dua mereka yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Melaka diwakili Long Meng Si, merayu agar jaminan rendah diberikan ke atas kedua- dua tertuduh selain mereka juga sudah berdamai.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 setiap seorang selain menetapkan 7 September depan tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

Melaka Hari Ini (MHI) semalam melaporkan, dua lelaki ditahan polis selepas terlibat dalam pergaduhan di Medan Selera MBMB Taman Rambai Utama.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 33 dan 56 tahun itu ditahan di Jalan Kota Melaka kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Views:

1196
Kongsi :
Previous post Dipenjara 12 bulan buang mayat bayi
Next post Penganggur belia tidak akan terpinggir
Ubah saiz-+=