AKRI 2024: UTEM RANGKUL DUA KEMENANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 3 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul dua kemenangan pada Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024.

Dua kemenangan itu adalah johan bagi kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka) dan tempat ketiga bagi kategori Anugerah Kurikulum Program Pengajian Inovatif.

Anugerah itu disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang diadakan di Kampus Induk Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata kejayaan itu merancakkan lagi budaya inovasi UTeM dalam konteks pengajaran dan pembelajaran lebih berdaya inovatif.

“Ia menjadi katalis dalam menyemarakkan budaya kepelbagaian pedagogi merangkumi strategi dan kaedah pengajaran komprehensif yang memenuhi keperluan semasa industri.

“Inovasi ini turut memenuhi keperluan pembelajaran pelajar yang berbeza dalam aspek latar belakang, gaya pembelajaran, tingkat pemahaman dan minat dalam kalangan pelajar,” katanya.

UTeM dinobatkan johan menerusi projek inovasi Connecting the Dots-Meaningful Immersive Structural Health Monitoring experiences via integration of Design Thinking and Augmented Reality through Problem-Based Learning.

Projek itu diketuai Dr. Zakiah Abd. Halim dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal yang melayakkan UTeM membawa pulang piala berserta wang tunai RM10,000.

Manakala tempat ketiga pula memenangi piala dan wang tunai RM3,000 menjadi milik projek inovasi Program Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data) dengan Kepujian diketuai Ts. Dr. Norashikin Ahmad dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr. Zulkifilie Ibrahim, Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik (CAES), Prof. Madya, Dr. Mohd Shakir Md Saat dan Timbalan pengarah CAES, Prof. Madya Dr. Muliati Sedek.

Untuk rekod AKRI merupakan program khas bertujuan mengenal pasti, memberi pengiktirafan dan berkongsi amalan terbaik projek-projek serta inisiatif dalam mengintegrasikan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post LITTLE INDIA MELAKA ‘BERCAHAYA’ 16 HINGGA 30 OKTOBER INI
Next post PMM LATIH 100 USAHAWAN PERANTIS
Ubah saiz-+=