Aktiviti kepulauan di Melaka bertambah rancak

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 14 Februari – Aktiviti kepulauan di negeri ini bertambah rancak bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Mana tidaknya, pada setiap hujung minggu dianggarkan kira-kira 500 pengunjung mula menjadikan beberapa pulau di negeri ini sebagai destinasi percutian dan bersantai bersama keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob berkata, jumlah itu semakin meningkat pada musim cuti persekolahan dan cuti perayaan Tahun Baru Cina apabila orang ramai memilih Pulau Besar serta tiga Taman Laut Melaka iaitu Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka sebagai lokasi ‘rehat minda’ (healing).

Menurut Azhar, Pulau Besar, misalnya, kini semakin popular dalam kalangan keluarga yang mahu berkhemah sambil menikmati keindahan alam semulajadi.

Katanya, selain keluarga, pulau itu turut menjadi destinasi pilihan mereka yang datang secara berkumpulan untuk melakukan aktiviti riadah seperti berkayak, berbasikal dan mandi pantai.

“Malah, kita difahamkan Putera Resort Pulau Besar yang baru sahaja dibuka Januari lalu mendapat tempahan memberangsangkan apabila ‘fully booked’ sepanjang Februari ini.

“Bagi merancakkan lagi kehadiran pelancong, kita juga menganjurkan pelbagai acara pada setiap bulan, antaranya Pulau Besar Challenge yang diadakan pada Januari lalu dan akan datang akan diadakan ‘Watercraft Challenge’ yang disertai pelajar institusi pengajian tinggi dijangka pada 2 Mac nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Azhar, selain Pulau Besar, aktiviti di Taman Laut Melaka turut meriah dengan kehadiran pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Katanya, antara aktiviti yang tersedia untuk mereka yang ingin ke Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol ialah ‘island hopping’, ‘snorkeling’, ‘scuba diving’ dan mandi pantai.

“Di Pulau Undan, selain melakukan aktiviti yang ada, mereka juga boleh melawat ke rumah api tertua di Negeri Melaka.

“Sejak akhir-akhir ini, orang ramai juga sudah mula beralih untuk melakukan aktiviti di Pulau Nangka memandangkan sudah ada jeti baharu yang dibina untuk keselesaan pengunjung dan menjadi tempat untuk bergambar.

“Selepas ini, kita akan membina satu lagi jeti di Pulau Dodol sebagai penambahbaikan fasiliti untuk pengunjung,” katanya.

Menurut Azhar, pihaknya turut mengalu-alukan orang ramai singgah ke Pusat Informasi Pulau Besar yang menempatkan pelbagai pameran dan maklumat mengenai 16 buah pulau yang ada di negeri ini.

“Selain galeri bergambar dan replika model pulau-pulau di negeri ini, turut diadakan pameran ikan hiasan dan batu karang yang terdapat di Melaka.

“Di bahagian atas pula terdapat galeri taman laut yang memaparkan pelbagai informasi mengenai batu karang, ikan-ikan, tukun dan pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3594
Kongsi :
Previous post Gunung Melaka jadi tumpuan, penduduk dapat tempias rezeki
Next post ‘Nak bawa lebih ramai ahli keluarga 20 Feb ini’
Ubah saiz-+=