Aktiviti luar bilik darjah bergantung kepada pihak sekolah – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER MOLEK 4 Mei – Segala aktiviti luar bilik darjah termasuk kokurikulum dan penganjuran sukan tahunan boleh diteruskan namun bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata pihaknya mengambil maklum mengenai garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Katanya, suhu di Negeri Melaka masih terkawal dengan rekod setakat dicatatkan pada hari ini adalah 31 darjah celcius dan kerap berlaku hujan lebat pada sebelah petang.

“Berhubung isu ini, kita memang mengikut rapat keputusan KPM dan semalam Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menggesa pihak sekolah menghentikan segala aktiviti luar bilik darjah ekoran fenomena cuaca terlalu panas.

“Bagi Negeri Melaka, suhu masih terkawal, namun untuk keselamatan murid dan pelajar kita minta pengetua atau guru besar untuk membuat pertimbangan sama ada teruskan aktiviti atau tunda.

“Jika mahu teruskan saya minta aktiviti tersebut dianjakkan masa ke waktu pagi dan masa di luar bilik darjah juga disingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Dun Ayer Molek di Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Majlis berlangsung dari jam 2 hingga 6 petang itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, Rahmad turut menyarankan murid dan pelajar sekolah minum air masak secukupnya.

Menurut Rahmad, pihaknya turut menyambut baik saranan di peringkat atasan dalam memberi kebenaran pelajar memakai pakaian sukan pada ketika ini

“Turut dinasihatkan untuk memakai pelitup muka, bagi mengekang wabak COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post Bekalan air di Melaka dijangka bertahan hingga Ogos
Next post Ridzuan Hashim meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung
Ubah saiz-+=