‘Alhamdulillah, Aidilfitri kali ini kami tidak lagi bergelap’

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PANTAI KUNDOR 6 Mei. – Sebuah keluarga nelayan di Kampung Solok Ciku, Tanjung Kling di sini yang dikatakan tidak pernah menikmati tenaga elektrik sejak enam tahun lalu kerana status tanah yang ditumpangi, bersyukur menerima bantuan generator hari ini.

Mohd Yusni Md Yunus, 53, berkata sejak membina rumah di tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) pada 2015, dia dan empat anaknya hanya menggunakan lilin dan pelita serta lampu kecil yang dijana daripada bank kuasa untuk menerangi kediaman sempit itu.

“Alhamdulillah, Aidilfitri kali ini kami lima beranak tidak lagi terpaksa bergelap seperti sejak lima tahun lalu,” katanya.

MOHD Yusni menjukkan lampu dipasang menggunakan bank kuasa di kediamannya di Kampung Solok Ciku, Tanjung Kling.

Beliau berkata, apabila berpindah dari Johor Bahru ke kampung itu pada 2015, dia dan empat anak terpaksa menumpang di masjid dan kabin sumbangan penduduk kampung.

“Saya terpaksa menumpang tanah PKNM yang sebelum ini penuh semak-samun untuk membina rumah kecil dan permohonan untuk mendapatkan bekalan tenaga elektrik tidak diluluskan Tenaga Nasional Bhd (TNB) kerana tanah ini bukan nama saya.

“Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan membuat pendawaian elektrik dan menyumbangkan generator tetapi ia mampu bertahan sebulan sahaja,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menyumbangkan generator baharu itu.

Nelayan pinggir pantai itu berkata, hidup dengan bergantung rezeki kepada hasil tangkapan yang tidak seberapa tidak mengizinkannya menyewa atau membina rumah di tempat lain.

“PKNM mengizinkan saya menyewa tapak rumah dengan bayaran RM100 sebulan dan bila-bila masa sahaja saya boleh diminta meninggalkan tempat ini jika PKNM ingin memajukan tanah bersebelahan rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Nor Azman berterima kasih kepada PKNM yang meluluskan permohonan Mohd Yusni untuk menyewa tapak tanah berkenaan.

“Kerajaan sedang membina 120 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Tangga Batu Perdana, dekat sini yang bakal disiapkan menjelang hujung 2022.

“Saya minta Mohd Yusni memohon untuk mendapatkan rumah itu kerana dia tidak boleh terus menumpang di tanah PKNM kerana bila-bila masa sahaja tanah ini akan dimajukan,” katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan menyediakan peluang kepada golongan B40 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor untuk memiliki rumah mampu milik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

665
Kongsi :
Previous post Media perlu bantu SPRM sebarkan anti rasuah kepada masyarakat
Next post Mumtaz Generation bantu anak-anak kurang bernasib baik
Ubah saiz-+=