Media perlu bantu SPRM sebarkan anti rasuah kepada masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 6 Mei. – Agensi pengamal media disaran membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyebarkan informasi dan kepentingan mencegah aktiviti rasuah dalam kalangan komuniti.

Pengarah SPRM negeri Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail berkata, media memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehidupan masyarakat luar.

Katanya, pihaknya turut merancang untuk mengadakan kerjasama bersama pengamal media di negeri ini terutama Melaka Hari Ini (MHI) dalam menyampaikan informasi berguna mengenai pencegahan rasuah kepada orang ramai selain memperkukuhkan intipati kandungan laman sosial agensi berkenaan.

SIMBOLIK…Abdul Jalil menyerahkan borang ikrar bebas rasuah yang telah ditandatanganinya kepada Awangkok Ahmad Taufik Putra.

“SPRM negeri mengharapkan agar media memainkan peranan dalam menyebarkan mesej anti rasuah kepada masyarakat kerana tulisan mereka memberi impak kepada kehidupan masyarakat luar,” katanya ketika berucap pada Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) MHI, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MHI Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, Ketua Pegawai Operasi Anuar Shaari dan Timbalan Pengarah SPRM negeri Ahmad Faizul Abdul Rashid.

Terdahulu, majlis lafaz ikrar berkenaan diketuai oleh Abdul Jalil dengan dihadiri 15 warga kerja MHI mencerminkan komitmen untuk membuktikan etika pencegahan rasuah dalam kalangan kakitangan agensi media itu.

Awangkok Ahmad Taufik berkata, penyebaran maklumat mengenai kepentingan anti rasuah perlu dilaksanakan bagi mengawal kes rasuah dalam kalangan komuniti terutama membabitkan penjawat awam dan golongan belia.

“Kita ada buat kajian yang mana ia sedang dijalankan, aktiviti rasuah dalam kalangan belia amat membimbangkan dan antara punca kegiatan itu adalah disebabkan integriti serta faktor gaya hidup,” katanya.

Berdasarkan rekod, MHI adalah agensi anak syarikat negeri yang ke-29 melafazkan IBR dan yang ke-109 daripada keseluruhan agensi kerajaan dan swasta terbabit program itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1364
Kongsi :
Previous post Elak kenaikan harga barang kawalan, 453 premis perniagaan diperiksa
Next post ‘Alhamdulillah, Aidilfitri kali ini kami tidak lagi bergelap’
Ubah saiz-+=