Elak kenaikan harga barang kawalan, 453 premis perniagaan diperiksa

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

JASIN 6 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memeriksa 453 premis perniagaan menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata, pemeriksaan itu meliputi sektor perkilangan, pemborong dan peruncit di seluruh negeri.

“Setelah pemeriksaan fasa pertama bermula 21 April lalu, sebanyak empat kes direkodkan membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Kesemua kes ini melibatkan nilai kompaun sebanyak RM400,” katanya pada sidang media selepas ‘walkabout’ SHMMP HRP 2021 di Pasar Besar Jasin, hari ini.

ISMAIL, Norena melihat ayam standard yang dijual di Pasar Besar Jasin pada walkabout itu.

Katanya, pelaksanaan SHMMP HRP 2021 bagi mengawal kenaikan harga barangan keperluan semasa Ramadan dan menjelang Hari Raya Puasa pada 13 Mei ini.

“Skim ini dilaksanakan secara berfasa yang mana fasa satu melibatkan 12 barangan meliputi empat kategori iaitu ayam, telur ayam, daging serta hasil laut.

“Manakala fasa kedua berkuat kuasa 6 Mei hingga 20 Mei ini membabitkan 19 jenis barangan terdiri daripada sayuran, barang kering dan hasil laut,” katanya.

SAYUR-sayuran antara barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan SHMMP HRP 2021.

Ismail berkata, sebanyak 29 barangan disenaraikan di bawah SHMMP HRP 2021 dan mana-mana peniaga melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKHAP 2011.

“Antaranya kesalahan adalah menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum dan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu,” katanya lagi.

Hadir sama Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Kongsi :
Previous post Agong zahir tahniah, bangga atas kejayaan Pandelela raih emas di kejohanan dunia
Next post Media perlu bantu SPRM sebarkan anti rasuah kepada masyarakat
Ubah saiz-+=