Alhamdulillah, bebas pandemik bahaya

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SUNGAI UDANG 27 Mei – Bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Alif Ikram Rusli, 24, menarik nafas lega dan bersyukur kepada Allah selepas gelang merah jambu dipakainya sejak Jumaat lalu, dipotong semalam.

Ini kerana sejak menjalani ujian calitan Jumaat lalu, fikirannya asyik terbayang dia menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Bagaimanapun, kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan apabila dia disahkan negatif COVID-19 dan tidak perlu menjalani kuarantin di PKRC.

Katanya, beliau tidak pernah berhasrat untuk menjalani kuarantin di pusat berkenaan, apatah lagi menjalani rawatan di Hospital Melaka akibat menghidap COVId-19 peringkat tiga atau empat.

Alif berkata, dia dan 190 jemaah Surau al-Munawarah, Taman Terendak Permai, Sungai Udang dekat sini diarahkan menjalani ujian calitan di surau itu pada Jumaat lalu selepas 24 jemaah surau disahkan positif.

Selepas menjalani ujian berkenaan, dia dipakaikan gelang merah jambu dan menjalani kuarantin di kediamannya di taman itu
sebelum menerima pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai keputusan ujian calitan negatif, kelmarin.

“Saya diarahkan ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah di Bukit Baru untuk menanggalkan gelang sebelum diberikan pengesahan pelepasan daripada menjalani perintah pemerhatian dan pengawasan di kediaman mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

Menurut Alif ketika gelang itu dipotong oleh petugas PKD, dia berasa seolah-olah terlepas daripada himpitan batu besar di
atas kepalanya, namun bersimpati dengan tujuh jemaah surau berkenaan yang disahkan positif COVID-19.

Katanya, peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan media dan jumlah kematian setiap hari amat membimbangkannya dan dia tidak
putus berdoa agar Allah menjauhkannya daripada diserang pandemik berbahaya itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post Dua tren LRT terbabit kemalangan dibawa keluar
Next post Ubah kerjaya demi kelangsungan kehidupan
Ubah saiz-+=