Ubah kerjaya demi kelangsungan kehidupan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Mei – Kehidupan yang sukar akibat pandemik COVID-19 sekarang tidak melemahkan semangat peniaga di pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini untuk berusaha demi kelangsungan kehidupan.

Meskipun terpaksa mengubah kerjaya, mereka tetap gigih mencari rezeki meskipun ia amat berbeza dengan bidang kerjaya sebelum ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang mendorong mereka bukan setakat terpaksa menghentikan operasi, malah menceburi bidang lain untuk mencari rezeki.

Bagi peniaga buah-buahan dan minuman di pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini, Jamsari Ahmad, 39, dia terpaksa meredah ombak di pantai itu untuk menjaring ikan, ketam dan belangkas.

JAMSARI sibuk melayan pelanggan di gerainya di
pantai Pengkalan Balak sebelum PKP.

“Saya tidak boleh berharap kepada perniagaan sebelum ini kerana PKP menyebabkan pantai ini sepi daripada pelancong tempatan dan negeri lain.

“Sudah lebih setahun pantai ini lengang daripada pengunjung, terutama dari negeri lain kerana larangan merentas daerah dan negeri menyebabkan saya dan peniaga lain terpaksa tutup kedai,” katanya ketika ditemui menjaring ikan di pantai itu.

Jika sebelum pandemik COVID-19, Jamsari mampu tersenyum menerima kunjungan pelanggan di gerainya tetapi kini dia terpaksa meredah air laut setinggi kira-kira 1.2 meter untuk memasang dan menarik jaring.

HASIL laut…ketam yang tersangkut dijaring.

Katanya, setiap petang dia memasang jaring sepanjang kira-kira enam meter di perairan pinggir pantai sebelum menariknya keesokannya harinya.

Lazimnya, jaringnya mengena ikan kapas dan gelama, selain ketam dan belangkas yang jika tidak banyak, cukup untuk dijadikan hidangan keluarga.

Jika hasil tangkapan memuaskan, dia mampu menjual ketam pada harga antara RM15 hingga RM20 sekilogram dan belangkas pada harga antara RM8 hingga RM10 seekor.

“Belangkas menjadi rebutan peraih, terutama mereka yang menjualnya ke selatan Thailand kerana telur belangkas amat digemari anggota komuniti di negara itu,” katanya.

Sehubungan itu Jamsari tidak putus berdoa agar Allah menamatkan pandemik berkenaan, sekali gus membolehkannya mencari rezeki dengan berniaga seperti sedia kala.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

607
Kongsi :
Previous post Alhamdulillah, bebas pandemik bahaya
Next post MPAG pagar replika penyu karah, cegah vandalisme
Ubah saiz-+=