Dua tren LRT terbabit kemalangan dibawa keluar

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 27 Mei – Dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terbabit kemalangan berjaya dibawa keluar pagi tadi, lebih awal dari tempoh tiga hari seperti dijanjikan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wee berkata proses mengeluarkan kedua-dua tren itu dapat dilakukan lebih awal selepas kakitangan bekerja tiga syif tanpa henti.

KEADAAN tren LRT yang remuk akibat perlanggaran pada Isnin lalu. Foto- FB Ka Siong.

“(tren) TR40 telah selamat sampai ke depoh Subang pada 3.45 pagi manakala TR81 pula telah sampai di Gombak tail track pada 4.51 pagi. Pihak Prasarana akan menumpukan kepada kerja-kerja pembaikan track dari Stesen Kg Baru ke Stesen KLCC.

“…akan tetapi, team recovery terpaksa ‘power down’ (menutup pembekalan kuasa) untuk seluruh stretch yang terlibat iaitu dari stesen Dang Wangi ke stesen Damai yang mana ia melibatkan lima buah stesen LRT sepanjang stretch akibat daripada ‘power down’,” katanya, menambah lima stesen yang terlibat ialah Damai, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan Dang Wangi.

Beliau berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan membuat pemeriksaan bagi mengesahkan tahap keselamatan penggunaan landasan terbabit sebaik sahaja kerja-kerja pembaikan stretch selesai.

“Untuk pengoperasian LRT pada hari ini, memandangkan kesan ‘power down’ dan juga masih terdapat satu landasan yang ditutup selepas kejadian, maka terdapat ‘bottleneck’ kerana hanya beroperasi dengan satu landasan dari Stesen Damai ke Stesen Pasar Seni (tujuh buah stesen LRT) dan masa yang diambil untuk sesebuah tren melalui stretch berkenaan adalah 16 minit.

“…akan tetapi, kaedah ‘platoon’ akan digunakan bagi dua tren memasuki landasan ke arah yang sama untuk mengurangkan kesan ‘bottleneck’,” menurut catatan itu.

Selain itu, Wee berkata 58 tren LRT untuk laluan Kelana Jaya akan beroperasi sepenuhnya tanpa pengurangan frekuensi seperti yang beliau umumkan semalam selepas melawat Pusat Kawalan Operasi (OCC).

Beliau turut memberi jaminan Prasarana akan bertungkus-lumus membaiki landasan hari ini agar perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Wee berkata setelah landasan dibaiki, tiada lagi kesan ‘bottleneck’ dan perkhidmatan LRT akan beroperasi pada tahap 50 peratus kapasiti seperti disyaratkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketat sehingga 7 Jun tanpa mengurangkan frekuensinya.

Dalam kejadian 8.45 malam Isnin lalu, sebanyak 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

774
Kongsi :
Previous post Masihkah ‘selamat’ pengangkutan tren?
Next post Alhamdulillah, bebas pandemik bahaya
Ubah saiz-+=