Ambil semangat slogan ‘Bijak Laksana Tuah’, ‘Berani Laksana Jebat’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 12 Januari – Rakyat Melaka dan semua penjawat awam di negeri ini diminta untuk menghayati slogan, ‘Bijak Laksana Tuah’, ‘Berani Laksana Jebat’ dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tidak mahu slogan keramat itu hanya menjadi ungkapan berdegar-degar, dicoret di lembaran surat atau dipaparkan didinding-dinding sahaja.

Ketua Menteri berkata, amat merugikan jika slogan itu tidak dihayati oleh penjawat awam dan rakyat Negeri Melaka.

“Saya mahu penjawat awam mengambil semangat daripada slogan agar dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat berlandaskan tadbir urus dan tatakelola berkesan.

“Kepimpinan Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan kepercayaan dan keyakinan tinggi kepada saudara dan saudari (penjawat awam) sekalian selaku tulang belakang kerajaan. Mampu untuk melaksanakan tugasan menjadikan Melaka sebagai negeri yang hebat dan berdaya saing dalam semua sektor,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco; ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta persekutuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

751
Kongsi :
Previous post UNIMEL tawar kos pengajian rahmah
Next post Pencalonan Anugerah Seri Melaka dibuka sehingga 31 Mac 2024
Ubah saiz-+=