Ambulans bawa nenek dirempuh Myvi
AYER KEROH 25 Ogos – Sebuah ambulans dari Klinik Kesihatan Masjid Tanah yang dalam perjalanan ke Hospital Melaka bagi menghantar pesakit terbabit kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Taman Seri Bertam, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan dan hanya menyebabkan kerosakan pada kenderaan kecemasan itu.
Katanya, ketika kejadian ambulans terbabit dikendalikan pemandu berusia 40 tahun membawa tiga penumpang masing-masing Pembantu Perawatan, Penolong Pegawai Perawatan dan pesakit iaitu wanita warga emas berusia 71 tahun.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati ketika kejadian ambulans yang dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Hospital Melaka membunyikan siren serta menyalan ‘beacon’ (lampu kecemasan).
“Ketika sampai di persimpangan, lampu isyarat berwarna merah. Selepas memastikan keadaan selamat, pemandu ambulans meneruskan perjalanan sebelum tiba-tiba datang Perodua Myvi dari arah simpang kanan Bukit Rambai, lalu melanggar sisi kanan hadapan kenderaan itu,” katanya.
Menurutnya, akibat rempuhan Perodua Myvi itu, ambulans mengalami kerosakan dibahagian hadapan termasuk kedua-dua lampu hadapan.
“Pemandu dan penumpang ambulans termasuk pemandu wanita berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan.
“Kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.