Anak berubah sikap selepas mendakwa dibuli

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 6 Julai – Remaja lelaki berusia 14 tahun disyaki mencekik adiknya sehingga mati dalam kejadian di Bukit Piatu, di sini, semalam berubah sikap selepas didakwa menjadi mangsa buli.

Bapa remaja itu, Najli Yakob, 42, berkata, anaknya yang tinggal di asrama sebuah sekolah mendakwa dibuli sejak tingkatan satu.

Katanya, perkara itu berlarutan hingga ke tahun ini dan semakin serius, namun anaknya itu dikatakan hanya mendiamkan diri.

Najli berkata, namun keadaan semakin membimbangkan berikutan susulan kejadian itu anaknya mula berubah sikap dan pernah bertindak mencekiknya dan isteri dalam kejadian sebelum ini.

“Dia mengadu dengan memberitahu kerap dibuli oleh dua senior termasuk dicekik ketika sedang tidur, disimbah air, ditendang dan dipukul.

“Susulan itu dia kerap menghubungi ibunya untuk mengadu mengenai masalah buli dialami. Pada awalnya saya sangka itu perkara biasa di asrama dan tidak serius.

“Namun saya dan isteri buat laporan kepada pihak sekolah serta polis selepas mendapati ada kesan kecederaan pada badan anak. Disebabkan perubahan sikapnya itu kami biarkan dia belajar dirumah buat sementara waktu.

“Perubahan anak sulung saya amat ketara apabila dia pernah dalam keadaan seakan meracau dan mata terbeliak mencekik leher saya sambil menyebut kalimah ‘subhanallah’. Tenaganya ketika itu seperti orang dewasa,” katanya.

Menurut bapa kepada empat anak itu, dia bersama isteri membawa remaja berkenaan untuk ‘berubat’ dan berasa lega kerana mula menunjukkan hasil yang positif.

“Ketika kejadian hanya dia (anak sulung) dan anak ketiga (mangsa) berada di rumah. Tidak sangka apa yang kami bimbangkan berlaku apabila menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melihat dia tiba-tiba mencekik adiknya yang ketika itu berada di sofa.

“Ketika kejadian saya berada di Terengganu, isteri pula bekerja. Jadi saya minta isteri pantau anak-anak menggunakan CCTV yang bersambung dengan telefon bimbit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2033
Kongsi :
Previous post Denggi: 93 notis dikeluarkan
Next post Aura Ustaz Abdul Somad dijangka tarik 20,000 pengunjung
Ubah saiz-+=